Ahli Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Pang Tsu Ming bersama ahli jawatankuasa penganjur bergambar kenangan dengan Wau Daun Sireh sempena pertandingan tersebut, semalam.
Oleh : MOHD RIDZUAN ABU HASSAN(13/07/08)
KUANTAN – Permainan tradisi Malaysia seperti wau bukan sahaja untuk kaum Melayu sahaja namun kaum lain turut digesa bersama-sama mengekalkan tradisi ini agar tidak dilupakan hingga ditelan zaman.
Ahli Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Pang Tsu Ming berkata generasi muda pada hari ini lebih gemar membuang masa dengan permainan komputer yang tidak memberi manfaat dengan pergaulan yang terbatas.
“Permainan wau bukan sahaja menguji kemahiran menaikkan wau ke udara malah meningkatkan daya kreativiti seni seseorang itu dan pasti akan bergaul dengan lebih ramai kenalan dengan minat yang sama,”katanya ketika ditemui menyaksikan pertandingan wau terbuka Kuantan, semalam.
Menurutnya, pertandingan sebegitu berjaya menarik minat ramai generasi muda dalam menyemai perasaan mencintai dan menghargai khazanah warisan negara untuk terus dikenali ke generasi seterusnya.
Seramai 500 pengunjung telah hadir bagi menyaksikan pertandingan tersebut bertempat di padang awam Taman Impian yang dianjurkan oleh Persatuan Peminat Wau Kuantan dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik.
Tsu Ming menggesa agar lebih banyak promosi dilakukan oleh persatuan berkaitan dalam memperkenalkan seni pembuatan wau terutamanya dalam menarik pelancong asing.
“Keselesaan untuk mendapatkan wau itu juga penting kerana ada segelintir remaja yang berminat namun kesukaran untuk memiliki wau itu menyebabkan minat tersebut dipendam begitu sahaja,”katanya.
Menurutnya, semua pihak perlu lebih aktif mengetengahkan semua permainan tradisi agar lebih ramai penyertaan terutamanya dari kaum lain demi perpaduan negara.
Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) turut menggunakan bentuk wau sebagi logo rasmi dan ini merupakan satu pengiktirafan buat peminat seni ini dan membuktikan wau bukanlah satu permainan yang sia-sia.
Tsu Ming berharap wau sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat dan peluang yang ada tidak dibiarkan begitu sahaja dalam memastikan Malaysia terkenal dengan tradisi unik seantero dunia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment