September 22, 2008

Gores dan Menang, Korek Hidung Bawa Bertenang !

SEMPENA bulan Ramadan, saya telah mengunjungi pasar raya di sekitar Kuantan untuk membeli barang keperluan. Tapi pada saat saya turun dari kereta, saya terserempak dengan beberapa orang berpakaian kemas yang biasa kelihatan di mana-mana tempat meletak kenderaan di sekitar Kuantan. Di sini, saya ingin menyeru anak-anak bangsa dan masyarakat kita tak kira usia tua muda, bangsa Melayu Cina India serta siapa-siapa, jangan sesekali masuk ke dalam perangkap mereka lagi. Mereka sudah haram, tidak lagi boleh berlegar dan berkeliaran di mana-mana. Mereka yang dimaksudkan ialah pekerja gores dan menang.

Kita kerap didedahkan dengan laporan kes penipuan membabitkan syarikat atau ejen gores dan menang saban hari. Hampir dalam semua laporan berkenaan, mangsa terpedaya apabila melaburkan sejumlah wang yang besar tetapi akhirnya barang yang dijanjikan hilang begitu saja. Terdapat pelbagai versi dan cara mereka menipu pengguna supaya mempercayai perniagaan mereka dan syarat-syarat permainan mereka adalah berusaha untuk membuatkan anda percaya dan memasukkan wang ke dalam akaun mereka.

Di sini juga saya sarankan beberapa langkah supaya ahli komuniti tidak lagi terjerat oleh sindiket gores dan menang yang tidak berperikemanusiaan. Pertama sekali, orang ramai digesa jangan hampiri atau membenarkan untuk dihampiri oleh penjual atau “pembuat kaji selidik” atau orang yang tidak dikenali sehinggalah mereka memberikan kepada anda segala maklumat lengkap tentang mereka atau syarikat mereka. Ini adalah langkah yang paling sukar bagi semua orang. Ingat, jangan biar mereka hampiri anda. Kedua, jangan memberikan maklumat peribadi anda kepada sesiapa sewenang-wenangnya tanpa sebarang alasan yang kukuh. Yang terakhir, jangan terlalu mudah mempercayai pemberian hadiah yang tidak munasabah dan jangan menerima sebarang komitmen terhadap sesuatu barang/hadiah. Ringkasnya, jangan bersikap tamak.

Saya percaya, lebih ramai lagi akan tertipu dengan sindiket seperti ini pada masa yang akan datang jika tiada penyelesaian dapat dicari oleh pihak berwajib. Ingat ! Jangan sesekali memberi peluang kepada mereka, kita harus terus menyekat mereka daripada mengancam masyarakat kita yang aman damai.

No comments: