December 31, 2008

Kursus Kesihatan Pengendali Makanan


Gambar - Penyampaian Cenderamata Oleh Pihak Penganjur.

18/12/2008 (Kuantan) – Syabas kepada Persatuan Penjaja Kuantan yang menyambut ulang tahun 39 dengan begitu meriah sekali. Dalam ucapan saya pada malam tersebut, saya merasakan bahawa perpaduan, komitmen dan kebajikan antara penjaja perlu terus dijadikan agenda dalam perjuangan masa depan. Perubahan perlu dilakukan dalam semua bidang termasuklah perkhidmatan dan makanan supaya mengikut arus perkembangan negara semasa.

Kita mengetahui bahawa kualiti dan kebersihan makanan harus dititikberatkan untuk mengelakkan daripada berlakunya kes keracunan makanan dan meningkatkan hasil jualan para penjaja. Dengan ini, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang mendapat arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kursus Kesihatan Pengendali Makanan untuk semua penjaja berkenaan. Saya berpendapat ketika krisis ekonomi yang turut melanda negara kita serta kos barangan yang semakin meningkat, kursus ini yang memerlukan bayaran sebanyak RM80 akan membebankan para penjaja.

Setelah beberapa kali melakukan perbincangan dengan Menteri Kesihatan dan Pengerusi J/K Kerajaan Tempatan serta MPK, saya berasa amat gembira kerana dalam Mesyuarat Penuh MPK pada 31/12/08 telah mengumumkan penurunan kadar bayaran kepada RM50. Manakala, kami masih menunggu keputusan Kementerian Kesihatan atas pengecualian kepada para penjaja yang pernah mengikuti kursus dan telah diberikan sijil.

Saya percaya melalui perbincangan dan saluran yang betul, masalah sedemikian dapat diatasi dan perniagaan penjaja yang menjadi sumber pendapatan serta daya tarikan pelancong akan terus berjalan dengan baik.

No comments: