March 3, 2009

Majlis Penyampaian Sumbangan Peruntukan Jabatan Perdana Menteri



26-2-2009 (Kuantan)– Pada pukul 3pm hari ini telah diadakan satu Majlis Penyampaian Sumbangan peruntukan daripada Jabatan Perdana Menteri melalui Pejabat Pembangunan Negeri untuk Dewan Undangan Negeri Semambu dan Teruntum kepada persatuan-persatuan, JKKT, KRT, NGO yang berlatarbelakangan pendidikan, agama, kebudayaan dan sebagainya. Terima kasih diucapkan kepada semua atas ketepatan masa menghadiri majlis tersebut.

Majlis yang diadakan bersama YB Chang Hong Seong ini turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Pembangunan Negeri, YH Dato’ Dzul-kifly bin Osman dan timbalannya. Majlis yang diadakan di Dewan Orang Ramai Setali telah memberikan kesempatan kepada YH Dato’ Dzul-kifly bagi meninjau kemudahan awam yang sedia ada.

Dalam ucapan saya, saya melahirkan kesyukuran kerana dalam keadaan krisis ekonomi yang tidak menentu, atas permohonan kami, kerajaan telah meluluskan RM50 ribu kepada setiap DUN serta telah membolehkan 29 buah badan/persatuan diberikan peruntukan tersebut di DUN Semambu dan 22 di DUN Teruntum.

Walaupun jumlah peruntukan tersebut tidak banyak tetapi badan/persatuan/NGO diseru supaya menggunakannya bagi memanfaatkan masyarakat melalui anjuran program-program kemasyarakatan. Di samping itu, kerjasama dari pemimpin-pemimpin masyarakat juga dipohon untuk bersama-sama dengan langkah-langkah kerajaan untuk membantu rakyat khususnya membantu golongan-golongan miskin dan yang berkurang nasib baik serta menyampaikan amanat kerajaan kepada komuniti. Saya juga berharap selepas mendapat peruntukan ini, badan/persatuan/NGO tersebut boleh bergiat lebih aktif dalam menggerakkan komuniti kita melalui program-program yang boleh menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan bermasyarakat.

No comments: