July 22, 2009

Seribu Kesibukan Membawa Seribu Keseronokan

Sesi Gambar Program Hari Keluarga KRT.

Persembahan Qi Gong Oleh ahli-ahli Pertubuhan.

YH Dato' Lee sedang memberi ucapan.

19/07/09 ( Kuantan ) - Hari ini, saya telah menghadiri program Hari Keluarga yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebudayaan Cina Negeri Pahang di Taman Gelora Kuantan. Program ini telah dianjurkan dengan jayanya di bawah pengerusi YH Dato’ Lee Jin Xian. Selain itu, di bawah anjuran Encik Fuad, KRT Cenderawasih Timur telah menjemput KRT dari Taman LKMP, Tanah Baru dan Sungai Lembing untuk menghadiri Hari Keluarga di Sungai Lembing. Hari Keluarga KRT ini turut diserikan dan dimeriahkan dengan kehadiran YB Dato’ Suhaimi (ADUN Sg Lembing).

Saya berbesar hati apabila melihat ratusan hadirin yang membanjiri lokasi masing-masing. Dalam ucapan saya, saya menegaskan bahawa betapa pentingnya program seperti ini harus kerap dianjurkan kerana lebih sihat dan berfaedah. Di samping itu, program Hari Keluarga juga memberikan suatu platform dan peluang berinteraksi sesama penduduk dari kawasan perumahan yang berlainan sekali gus meningkatkan semangat kejiranan yang sedia ada. Program ini sedikit sebanyak membantu kerajaan mencapai perpaduan berbilang bangsa. Pelbagai persembahan serta acara sukaneka turut disediakan untuk penyertaan hadirin dan sudah tentu hadiah juga disediakan untuk dimenangi oleh penduduk.

Dalam pada itu, saya turut meluangkan masa saya untuk menghadiri Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Indera Mahkota 2 di Taman Pertanian. Saya difahamkan seramai kira-kira 150 pelajar telah mengambil bahagian dalam perkhemahan ini. Pada pendapat saya, aktivit ini akan memberikan faedah di luar bilik darjah kepada pelajar seterusnya memupuk nilai-nilai murni sejak di bangku sekolah lagi. Dengan ini, para pelajar secara tidak langsung dibentuk menjadi berakhlak tinggi serta menjadi modal insan yang serba boleh.

Saya juga menegaskan bahawa kepentingan pendidikan di Malaysia memang tidak boleh dinafikan kerana melaluinya, semangat patriotisme dalam kalangan remaja dapat dipupuk. Ini merupakan cara terbaik menerapkan kembali semangat cinta akan negara kepada remaja yang semakin luntur nilai itu. Saya percaya dengan wujudnya sistem pembangunan pendidikan, negara kita bakal melahirkan belia yang berpendidikan tinggi dan tinggi budi pekertinya.

No comments: