July 24, 2009

Sesi Taklimat Projek Lynas Malaysia



23/07/09 (Kuantan) - Sejak Projek Lynas diluluskan di Kawasan Perindustrian Gebeng negeri Pahang, bahan mentah (Lanthanides) dari Australia dan sisa terhasil yang mengandungi bahan radioaktif terus menimbulkan perhatian dan kebimbangan masyarakat khususnya dalam kalangan penduduk kawasan Kuantan. Sebagai wakil rakyat, saya turut merasai kebimbangan yang sama. Topik radioaktif merupakan suatu topik yang bersifat saintifik dan teknikal menyebabkan tidak mudah diterangkan kepada masyarakat umum tentang sama ada projek ini akan memberikan impak jangka masa panjang terhadap alam sekitar dan kesihatan penduduk Kuantan atau tidak.

Atas permintaan saya dan YB Encik Chang Hong Seong, kerajaan telah menyediakan pakar dalam bidang ini untuk memberikan penjelasan fakta-fakta berkaitan kepada masyarakat. Saya berasa gembira kerana akhirnya kerajaan negeri melalui PKNP telah mengaturkan Majlis Taklimat Projek Lynas Malaysia untuk menjelaskan perkara tersebut kepada pelbagai lapisan masyarakat. 23 Julai 2009 merupakan hari taklimat kepada YB ADUN-ADUN dan Ahli-ahli Parlimen negeri Pahang termasuklah wakil rakyat parti pembangkang. Dengan ini sekali lagi kerajaan membuktikan ketelusan dan keterbukaannya. Perkara ini juga membuktikan kerajaan negeri amat mengambil berat dan prihatin atas kebimbangan yang dirasai oleh rakyat.

Dalam majlis ini, pegawai-pegawai dari Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Nuklear Malaysia telah memberikan penjelasan secara terperinci terhadap topik ini. Berdasarkan taklimat, ketiga-tiga jabatan tersebut memiliki tenaga kepakaran yang sangat mencukupi sehingga negara-negara dari ASEAN, Afrika, Timur Tengah, Asia Selatan dan Asia Pasifik juga mendapatkan khidmat nasihat mereka.

Taklimat tersebut telah menyimpulkan bahawa maklumat permohonan Projek Lynas Malaysia memenuhi semua syarat yang ditetapkan dan diluluskan. Namun, pemantauan berkala dan berterusan akan dijalankan untuk memastikan segala syarat dipatuhi. Orang awam dan pekerja hanya terdedah kepada radioaktif yang tidak melebihi paras yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Impaknya kepada alam sekitar adalah minimum sekali. Semua ini adalah untuk memastikan keselamatan orang awam, pekerja dan alam sekitar sentiasa terjamin dan terpelihara. Ketika sesi dialog, soalan yang ditanya adalah sekiranya sistem pemprosesan berlakunya masalah, apakah langkah dan tindakan sewajarnya boleh dijalankan untuk mencegah impak yang maksimum.

Pendek kata, saya berpendapat bahawa hasil penyelidikan adalah terperinci dari jabatan-jabatan tersebut. Kita berharap pemantauan dan penguatkuasaan harus lebih dititkberatkan. Sekiranya Projek Lynas Malaysia melanggar syarat yang telah ditetapkan, pihak berkuasa harus tidak teragak-agak dan berhak mengambil tindakan undang-undang termasuk menggantung serta membatalkan lesen syarikat. Untuk tidak lagi mempolitikkan topik ini, saya berharap dalam sesi taklimat yang akan datang, semua pihak diminta meluangkan masa menghadirinya supaya mengetahui secara lanjut.

2 comments:

st said...

ada sesetengah pihak sengaja membesarkan isu ini demi kepentingan sendiri atau agenda tertentu terutamanya pada situasi sekarang yang mana minda rakyat yang terlalu senang dipengaruhi.

Anonymous said...

Dear YB, I'm proud you are speaking on behalf of the (Kuantan) people, for the people! You have our full back up. Dare the truth!