August 20, 2009

Mesyuarat Agung KUPAS




08/08/2009 (KUantan) - Saya telah berbesar hati dijemput bagi merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Pekerja Pelabuhan Kuantan yang penuh bermakna. Di sini, saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan majlis pada pagi ini. Dalam ucapan saya, saya telah menegaskan peranan program supaya bersama-sama berbincang dan memberikan idea yang bernas serta berguna dalam membantu membangunkan kesatuan.

Setahu saya, peranan Kesatuan Pekerja Pelabuhan Kuantan tidak kurang pentingnya jika dibandingkan dengan kesatuan-kesatuan yang lain. Kesatuan seperti ini merupakan gabungan tenaga bagi memastikan kepentingan ahli-ahli kesatuan di samping menjaga kepentingan masing-masing. Kesatuan juga memainkan peranan yang penting sebagai perantara syarikat dengan pekerja untuk mencapai persetujuan dan keseimbangan kedua-dua pihak. Kita dapat melihat bahawa banyak syarikat mega yang hanya mementingkan keuntungan sahaja sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai majikan terhadap pekerja. Dengan kesatuan sebegini, sekurang-kurangnya dapat membantu dan menegakkan keadilan secara tidak berlebihan. Pada masa yang sama, kesatuan sebegini juga dapat membentuk budaya yang baik, iaitu menyelesaikan masalah melalui muafakat. Saya juga mengharapkan bahawa segala hal tidak dipolitikkan sehingga berlakunya mogok dan boikot yang akan menjejaskan ekonomi negara.

Dunia sedang menghadapi masalah ekonomi yang tidak stabil termasuk di negara kita, Malaysia tidak terkecuali daripada terkena tempiasnya. Jika dilihat keadaan ekonomi dunia mengalami kegawatan yang teruk dan berterusan, negara kita menampakkan tanda-tanda peningkatan dan harga komoditi negara menjadi lebih teguh walaupun wujud penurunan dalam pengeluaran industri global. Negara kita mengalami penguncupan ekonomi sebanyak 6.4 peratus bagi suku pertama tahun ini kesan krisis kewangan global itu. Namun kesannya tidak begitu ketara.

Berikutan dengan adanya kebijaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan langkah liberalisasi yang pantas dilaksanakan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib, prestasi ekonomi negara dilihat lebih baik pada separuh tahun kedua 2009 bersandarkan ramalan ekonomi global bergerak ke arah pemulihan. Justeru, kerajaan telah berusaha membawa rakyat keluar daripada belenggu ekonomi ini. Dengan ini, jelas membuktikan keprihatinan YAB Dato’ Sri Mohd Najib melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bagi mengelakkan syarikat-syarikat berterusan memberhentikan para pekerja. Langkah kerajaan adalah diharap mendapat keserasian dan perhatian daripada syarikat-syarikat, para pemimpin kesatuan dan pekerja bagi bekerjasama memulihkan ekonomi negara. Sungguhpun demikian, tetapi masih ada tuduhan yang bukan-bukan yang dilemparkan kepada pemimpin negara. Perkara ini adalah amat dikesali dan sebagai rakyat, kita harus mentafsir serta menilainya secara rasional.

No comments: