September 5, 2008

Bela Kemakmuran Negara


Oleh : MOHD ZAKY ZAINUDDIN

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Pang Tsu Ming, menyeru kepada masyarakat untuk membela kemakmuran negara supaya kekal aman dan harmoni.

Kepentingan dalam menjaga kemakmuran bukan sahaja terletak dibahu pihak berkuasa sahaja, malah sebagai penduduk, mereka mempunyai peranan sebagai pembantu yang tidak kurang pentingnya.

Menurut Tsu Ming, bagi mengekalkan kemakmuran negara, kerjasama merupakan elemen terpenting seterusnya menjana persefahaman yang mana memberi manfaat kepada semua pihak.

Katanya, persefahaman dari sudut budaya, cara hidup dan agama antara semua kaum juga dapat mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini sehingga boleh meruntuhkan tamadun negara bangsa.

"Kita harus bersyukur dengan kemerdekaan yang dicapai hari ini. Walaupun perjuangan yang di bawa hari ini mempunyai perbezaan besar dengan tahun-tahun sebelumnya, namun kita perlu sentiasa peka.

"Kemakmuran yang dikecap hari ini adalah usaha daripada pejuang kemerdekaan terdahulu selain kepimpinan negara yang lebih efisien.

"Oleh itu, kita seharusnya menyemai satu tanggungjawab untuk menjaga keamanan sejagat daripada dikucar-kacirkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan Majlis Ceramah Agama dan Penyampaian Hadiah sempena Semarak Ramadhan dan Kemerdekaan Komuniti Bestari Kampung Tiram, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Penerangan Pahang, Datuk Hasnah Hassan dan Pegawai Penerangan Daerah, Mardiana Mohamad selain 500 penduduk membanjiri Surau Kampung Tiram.

Tsu Ming memberitahu, rakyat negara ini seharusnya bangga dengan pencapaian dari sudut pembangunan fizikal yang semakin baik di samping perlu berusaha memantapkan modal insan.

"Kita sudah mencapai kemerdekaan ke-51 selain pembangunan yang semakin pesat di negara ini. Namun, pemantapan modal insan harus dipertingkatkan bagi melahirkan masyarakat lebih bertamadun dan dipandang tinggi oleh masyarakat luar," katanya.

No comments: