September 5, 2008

Bajet Prihatin Untuk Rakyat

Oleh : MOHD ZAKY ZAINUDDIN

KUANTAN - Pembentangan Bajet 2009 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini disifatkan bajet prihatin untuk golongan tertentu khususnya orang miskin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Pang Tsu Ming, berkata, bajet yang dibentangkan itu amat mementingkan keselesaan dan kesejahteraan rakyat ketika negara berdepan dengan kenaikan taraf hidup secara mendadak.

Katanya, bajet ini juga jelas menunjukkan kerajaan tidak mahu golongan miskin, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas dipinggirkan daripada mendapat bantuan.

"Kerajaan telah melonggarkan kelayakan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan menurunkan syarat pendapatan seisi keluarga daripada RM400 kepada RM700 sebulan. Ini jelas menunjukkan bajet kali ini lebih mesra rakyat dan mementingkan nasib mereka yang kurang bernasib baik.

"Golongan ini juga seharusnya menikmati hasil pembangunan negara memandangkan mereka terpaksa berdepan dengan kesan kenaikan harga bahan api dan barang keperluan secara mendadak sekarang.

"Kerajaan telah menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat dalam bajet kali ini dan kita sepatutnya bersyukur dengan kelebihan ini di samping terus memberi sokongan kepada kerajaan yang ada," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurut Tsu Ming, bajet 2009 juga menunjukkan salah satu usaha kerajaan ke arah membasmi kemiskinan tegar apabila bantuan kemiskinan terus dipertingkatkan.

"Kerajaan telah mengambil inisiatif terbaik khususnya usaha untuk membasmi kemiskinan tegar di negara ini di mana mereka yang berpendapatan kurang RM700 layak mendapat bantuan JKM," katanya.

No comments: