
PERSIDANGAN perwakilan kebangsaan Parti Gerakan ke-37 telah diadakan dan persidangan itu turut dihadiri Y.A.B Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyatakan kerajaan sudah meletakkan asas yang terbaik dan berpegang kepada Misi Nasional sebagai panduan negara ini mencapai matlamat Wawasan 2020. Kenyataan yang dinyatakan oleh beliau amat disetujui saya memandangkan pelbagai program pembaharuan telah dilaksanakan oleh beliau bagi membentuk negara Malaysia menuju ke arah bebas dan bersih.
Y.A.B Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga menyatakan bahawa masyarakat majmuk negara yang terdiri daripada keunikan kepelbagaian agama dan kaum anugerah dan rahmat kepada Malaysia. Beliau juga mengulas bahawa keunikan ini sebenarnya bukan suatu “petaka” yang harus dipandang sebagai “beban” dan impak negatif kepada negara. Saya cukup setuju dan menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau memandangkan bukan semua negara di seluruh dunia dianugerahkan rakyat yang mempunyai keunikan dan keistimewaan seperti negara kita. Walaupun negara kita sudah merdeka 51 tahun, tetapi pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan Barisan Nasional untuk mengeratkan dan memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat. Ini merupakan fakta yang tidak boleh disangkal semata-mata emosional yang memuncak. Dan pemimpin negara harus menjadikan isu perpaduan nasional sebagai suatu cabaran dan berusaha menangani secara berdepan, dengan jujur dan penuh kefahaman.
Pada pandangan saya, pendidikan telah memainkan peranan yang amat penting dalam menyediakan wadah yang sesuai untuk menyebarkan ilmu pengetahuan dan kesedaran tentang kepentingan perpaduan dan cinta akan tanah air. Dalam saat suasana negara yang masih muhibah dan aman damai, segala anasir luar dan duri dalam daging harus dijadikan musuh dan bukan rakyat Malaysia sendiri yang memusuhkan sesama sendiri. Kemesraan dan keeratan silaturahim antara kaum sekarang dan masa depan akan menjadi cabaran perpaduan nasional kepada pemimpin negara saban hari. Ahli politik yang mementingkan diri dan mengeksploitasikan isu perkauman bagi menonjolkan diri harus dikecam sama sekali kerana itu merupakan ancaman kepada bangsa dan negara.
Pendek kata, formula parti gabungan pelbagai kaum sudah terbukti berjaya lebih 50 tahun lalu, bermula sebagai Perikatan dan kemudian sehingga sekarang sebagai Barisan Nasional. Segala nikmat kejayaan dan kesenangan yang dibawakan oleh kerajaan tidak boleh dinafikan dan harus disyukuri. Pembaharuan dalam pelbagai aspek yang cuba diusahakan oleh Pak Lah juga harus dihargai dan dijadikan kajian masa depan.
No comments:
Post a Comment