TIDAK dapat disangkal sama sekali pembangunan dan kejayaan sesebuah negara adalah bergantung besar kepada sikap yang positif serta pengurusan-pengurusan pekerjaan, pentadbiran dan rakyat bermoral tinggi secara keseluruhannya. Dengan ini, kesedaran haruslah ditanamkan dalam sanubari pegawai-pegawai swasta, pekerja-pekerja, rakyat dan terutamanya kakitangan awam supaya mereka memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing seterusnya melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan dengan cekap dan berkesan. Dengan ini juga sudah tentu sifat integriti, efisien dan komited yang tinggi harus ditunjukkan oleh para penjawat awam yang juga dikenali sebagai kakitangan kerajaan.
Secara terus-terang, saya amat tidak menyenangi persepsi dan tanggapan segelintir para kakitangan awam bahawa mereka bekerja semata-mata bagi memenuhi keperluan diri sendiri iaitu untuk mendapat upah atau ganjaran hendaklah dikikis sama sekali tetapi sebaliknya semangat bekerja demi memperjuangkan nasib bangsa dan negara keseluruhannya semestinya ditanamkan dalam jiwa dan sanubari semua.
Sebagai kakitangan kerajaan, kita harus mempunyai satu prinsip jelas yang dianggapkan sebagai pedoman dalam menjalankan tugas kita sebagai kakitangan kerajaan supaya kita tidak lari daripada landasan dan etika perkhidmatan. Semua penjawat awam patut sudah tahu bahawa kita berkhidmat kepada kerajaan, maka penjawat awam harus menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan. Pada tahun 2007, Perdana Menteri telah mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus di samping menaikkan kadar bantuan sara hidup atau COLA sebanyak 100 peratus. Dalam pembentangan Bajet 2009, Perdana Menteri juga membawa satu lagi berita baik kepada kakitangan awam dengan mengumumkan bahawa seramai 1.2 juta kakitangan awam akan menerima bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 yang akan dibayar melalui dua kali pembayaran iaitu pada September dan Disember.
Seiringan dengan itu, saya merasakan bahawa kerajaan amat menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh kakitangan awam terhadap kerajaan dan berharap dengan insentif yang bakal diterima nanti, peningkatan produktiviti serta perubahan sikap dan budaya kerja dalam kalangan kakitangan awam akan berlakunya revolusi ke arah positif. Berkhidmat untuk negara!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment