November 3, 2008

Kontrak Sosial Instrumen Mendidik Anak Bangsa

BARU-baru ini, kontrak social sekali lagi menjadi isu perbualan dalam kalangan masyarakat negara. Lebih-lebih lagi, isu untuk menjadikan subjek kontrak sosial sebagai kurikulum di institusi pendidikan negara mula menjadi perhatian hangat. Kemudian diikuti dengan tindakan kerajaan yang akan menerapkan elemen tertentu yang menyentuh berkenaan dengan kontrak sosial dalam beberapa subjek di sekolah termasuklah mata pelajaran Sejarah dan Sivik tingkatan empat serta lima.

Bagi saya, dalam mewujudkan masyarakat maju yang mempunyai ciri kebebasan berfikir, bersuara dan berideologi tidak bermakna mereka boleh melanggar kepada prinsip perundangan negara, terutamanya Perlembagaan Malaysia. Langkah penerapan elemen kontrak sosial dalam mata pelajaran ini adalah bertepatan berikutan kontrak sosial ini tidak harus dianggap sebagai isu sensitif, sebaliknya harus didedahkan kepada anak-anak muda di dalam negara. Tindakan ini wajar kerana asas perpaduan yang utuh dapat dibina jika masyarakat berbilang kaum dapat mengimbas kembali kisah perjuangan dan perjanjian yang lalu, kemudian mengambil iktibar diaplikasikan dalam menyatukan hati seluruh rakyat Malaysia.

Kontrak sosial merujuk kepada permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan dalam kalangan rakyat dan pemimpin Melayu, Cina dan India.

Pemeteraian kontrak sosial ini adalah disertai dan dipersetujui parti masing-masing iaitu UMNO, MCA dan MIC bagi mewujudkan sebuah negara aman, damai dan adil. Saya percaya bahawa pendedahan kontrak sosial kepada para pelajar di sekolah lebih awal dapat memberikan penjelasan kepada generasi muda agar tidak timbul kekeliruan dan salah faham tetapi dengan syarat elemen dan intipati yang akan diterapkan dalam buku teks nanti haruslah mesti mematuhi ketepatan fakta dan kebenaran perjanjian kontrak sosial yang telah ditermeterai. Dengan ini, secara langsung tidak akan mengelirukan generasi akan datang sekali gus mendatangkan impak positif terhadap revolusi dan pembangunan negara.

Realiti yang perlu diperhatikan dan dititikberatkan sebenarnya, generasi baru sekarang perlu dididik berasaskan kefahaman serta kesedaran dan bukannya paksa rela. Institusi pendidikan negara hendaklah menyediakan proses pendidikan melalui penerapan yang lebih relevan dengan keadaan semasa untuk berdepan dengan generasi baru ini. Kontrak sosial adalah ditegaskan supaya perlu dihormati dan difahami sedalam-dalamnya demi memperkasakan perpaduan kaum di negara ini yang terjalin sejak sekian lama. Semoga berbekalkan pengukuhan dan keesahan fakta dalam subjek di dalam system pendidikan nanti, negara kita akan dapat melahirkan modal insan berminda kelas pertama dan boleh dipasarkan secara global.

No comments: