SYUKURI ZAKARIA
KUANTAN - Kerajaan sudah meletakkan asas terbaik dalam membentuk sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera yang berpaksikan kepada Dasar Integrasi Nasional sebagai panduan ke arah mencapai matlamat wawasan 2020.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Datuk Phang Tsu Ming berkata, pelbagai program pembaharuan dilaksanakan kerajaan bagi memastikan hasrat negara ke arah integrasi nasional dan perpaduan dapat direalisasikan.
Menurutnya, tema sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini iaitu ‘Perpaduan Teras Kejayaan’ menunjukkan betapa pentingnya sebuah negara memiliki rakyat yang bersatu hati, bekerjasama, bantu-membantu dan memiliki sikap toleransi.
Katanya, walaupun negara dirundung pelbagai krisis yang tidak diingini namun perpaduan dan kemesraan antara kaum yang ada tidak langsung tergugat memandangkan asas perpaduan kaum yang kukuh telah diterap pemimpin-pemimpin terdahulu.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menyatakan bahawa masyarakat majmuk yang terdiri daripada kepelbagaian agama dan kaum adalah anugerah dan rahmat yang tidak wujud di kebanyakan negara-negara lain.
“Untuk memastikan apa yang dimiliki negara terus kekal pada masa hadapan, kerajaan terus menganjurkan pelbagai program dan aktiviti bagi mengeratkan dan memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Penghayatan Rukun Negara anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kuantan di Amansari Beach Resort, Pantai Sepat, dekat sini, kelmarin.
Hadir sama Penolong Pengarah JPNIN Pahang, Fairojibanu Zainal Abidin, Pegawai Perpaduan Daerah Kuantan, Sukri Omar, guru-guru pengiring dan 80 pelajar daripada enam buah sekolah sekitar daerah ini.
Menurut Phang, dalam merealisasikan dasar negara yang bertunjangkan perpaduan kaum, Seminar Penghayatan Rukun Negara seperti ini harus dilaksanakan dengan lebih kerap melalui penglibatan pelajar berbilang kaum di seluruh daerah.
Katanya, seminar ini amat bertepatan dengan peribahasa ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ memandangkan pengisiannya adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan melahirkan pelajar yang memiliki semangat patriotisme yang sejati.
“Memang kita menghafal rukun negara sejak dari kecil lagi namun begitu, adakah masyarakat memahami maksud sebenar yang tersirat di dalamnya dan betul-betul menghayati peranan masing-masing dalam menjayakan dasar negara.
“Oleh yang demikian, seminar seperti ini harus disemarakkan dengan memberikan keutamaan kepada cendekiawan dan pemimpin-pemimpin masyarakat dengan hasrat mewujudkan satu negara dan bangsa yang kuat dan bermaruah,” katanya.
Sementara itu katanya, dalam anjakan paradigma yang menembusi arus globalisasi, negara kita tidak terkecuali daripada cabaran-cabaran tertentu seperti ekonomi, politik,
perpaduan dan seumpamanya.
Malah katanya, jika dilihat daripada perspektif perpaduan, penghayatan rukun negara akan memberikan sumbangan yang bermakna dalam usaha mencipta kegemilangan masyarakat berbilang bangsa di Negara ini.
”Saya berharap para pelajar yang terlibat dalam seminar ini akan dapat mengaplikasikan apa yang diperoleh dalam kehidupan harian selain mendorong remaja dan rakan-rakan lain mengamalkan penghayatan Rukun Negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment