Oleh : MOHD RIDZUAN ABU HASSAN
KUANTAN - Ibu bapa di minta untuk tidak terlalu menyekat anak-anak yang masih kecil dengan pelbagai pantang larang kerana dikhuatiri merencatkan proses pembesaran semula jadi mereka.
Ahli Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Pang Tsu Ming berkata, anak-anak tidak perlu dihalang melakukan perkara
yang mereka gemari memandangkan ia adalah sebahagian daripada proses untuk mereka belajar mengenai kehidupan.
Menurutnya, pendidikan di taska atau pusat jagaan baik dalam semua aspek tetapi apabila pulang ke rumah, ibu bapa menghalang perkembangan minda mereka dengan
pelbagai pantang larang.
“Ini bercanggah dengan sifat kanak-kanak yang ingin tahu dan mencuba maka jangan jerkah atau tengking apabila mereka bertanya atau melakukan kesalahan.
“Ikutlah cara yang disarankan agama iaitu dengan menggunakan cara berhemah dan penuh kasih sayang apabila menegur anak-anak,”katanya ketika menyempurnakan perasmian Majlis Graduan Kanak-Kanak Tabika Perpaduan Peringkat Daerah Kuantan, semalam.
Beliau berkata, walaupun anak- anak mempelajari banyak program pendidikan di pusat asuhan tetapi cara mereka berfikir banyak dipengaruhi oleh suasana dan persekitaran bersama keluarga.
Menuruntya, kanak-kanak di luar bandar juga perlu diberi peluang mendapat pendidikan awal yang berkualiti bagi melahirkan generasi bijak dalam bidang akademik dan mempunyai sahsiah yang tinggi.
“Peluang pendidikan di bandar perlu dibawa ke kawasan luar bandar bagi memastikan kanak-kanak di kawasan desa tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
“Saya percaya jika anak-anak di desa diberikan pendidikan yang baik, mereka akan menjadi anak muda yang baik dan menjadi sebahagian daripada tenaga bangsa dan modal insan negara,”katanya.
Tsu Ming berkata, sikap, perbuatan dan tutur kata ibu bapa turut memainkan peranan dan akan menjadi ikutan anak-anak.
Menurutnya, ibu bapa harus membimbing si kecil untuk mengenal mana yang perlu mereka dekati dan mana pula yang perlu dijauhi.
2 comments:
Hi Tuan YB. I've put you on my blog - Himpuan Blog Pahang. Hope u dont mind sir.
Thank you for the link. I appreciate it.
Post a Comment