KUANTAN – Program penghayatan rukun Negara perlu dianjurkan secara lebih kerap bagi memastikan hasrat kerajaan melahirkan remaja yang memiliki semangat kenegaraan dan jati diri kelas pertama dapat direalisasikan.
Penolong Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN), Fairojibanu Zainal Abidin berkata, amalan 4P iaitu pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan penting dalam merealisasikan usaha ini.
Menurutnya, usaha ini perlu dilaksanakan secara berterusan terutama di peringkat akar umbi memandangkan golongan muda lebih mudah dibentuk dan diterapkan dengan elemen-elemen yang terkandung dalam rukun negara.
“Aktiviti yang bermanfaat dan memberi kesan terhadap pembentukan jati diri remaja perlu dijadikan sebagai teras utama dalam usaha melahirkan pelapis negara yang berketerampilan dan mampu mengharumkan nama negara.
“Usaha ini memerlukan komitmen daripada semua pihak sama ada kerajaan mahupun swasta di samping memupuk semangat kerjasama di kalangan masyarakat berbilang bangsa untuk memastikan hasrat ini dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Penghayatan Rukun Negara anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kuantan di Amansari Beach Resort, Pantai Sepat, dekat sini, kelmarin.
Fairojibanu berkata, lima prinsip rukun negara dan lagu kebangsaan perlu dijadikan sebagai amalan harian sama ada di sekolah, dalam upacara perasmian atau di mana-mana sahaja bagi mendidik masyarakat supaya menghayati dan menghormatinya.
“Negara kita terdiri daripada pelbagai kaum yang mana keadaan ini memerlukan kita semua berusaha mencari persefahaman dan kerjasama untuk memastikan perpaduan dan keharmonian sedia ada terus kekal utuh.
“Oleh yang demikian, usaha seperti ini perlu diteruskan dan di perkasa supaya hasrat murni kerajaan yang juga sebahagian daripada aspirasi negara ini dapat direalisasikan secara menyeluruh,” katanya.
No comments:
Post a Comment