December 2, 2008

Kalau Dah Rezeki, Tak Ke Mana?

BIASANYA kita sentiasa mendengar orang mengatakan atau mengadu bahawa perkara ini tak adil, perkara itu tak adil, pemberian ini tak cukup, pemberian itu tak cukup, kenapa dia lebih saya kurang dan sebagainya. Tapi pernahkah orang-orang seperti ini menanyakan tentang kesungguhan diri?

Kecemerlangan merupakan satu matlamat yang diimpikan bukan sahaja oleh individu tertentu tetapi juga oleh sesuatu organisasi yang berwawasan. Kecemerlangan adalah natijah daripada beberapa siri kejayaan dan keluarbiasaan dalam semua aspek yang diharapkan. Sudah tentu kecemerlangan itu diukur oleh pelbagai variasi daripada pelbagai perspektif yang berlainan. Tiada kecemerlangan yang boleh pergi jauh bersama dengan kelemahan, kegagalan atau mundur ke belakang. Kecemerlangan membawa implikasi maju ke hadapan, bersifat dinamik, gemilang, menerima sanjungan, dan menjadi idola atau "role model" individu atau masyarakat.

Manusia mempunyai potensi untuk berfikir, merangka strategi, melaksana, dan mencapai tahap kejayaan cemerlang dalam sesuatu gerak kerja yang dilaksanakan. Bagaimanapun, kecemerlangan bukan suatu perkara yang mudah dicapai. Kecemerlangan memerlukan pengorbanan, dedikasi, kesungguhan, kesabaran, iltizam, kepimpinan dan pelbagai lagi sikap dan sahsiah yang positif. Semua aspek ini dikenali sebagai “Kesungguhan”. Rezeki yang ada ditambah pula dengan kesungguhan yang ada, pastinya impian dapat dicapai cita-cita dapat digenggam dengan mudah.

Melalui kesungguhan, kita sebagai insan berakal harus mengatur dan memberi kerangka asas untuk sendiri mencapai kecemerlangan mengikut landasan kita tersendiri. Budaya kerja merupakan aspek yang paling penting dalam menerapkan nilai kesungguhan yang saya sebut tadi. Kalau dah rezeki, tak ke mana? Jangan asyik salahkan siapa-siapa atau mana-mana pihak saja jika sesuatu yang ingin dicapai tidak kesampaian sedangkan kesungguhan tersebut tidak ditunjukkan bersama keikhlasan dan niat yang murni.

Di samping itu, saya amat percaya bahawa kejayaan harus dirancang berdasarkan visi, misi dan objektifnya. Sebagai seorang pemimpin yang telah menetapkan misi sendiri yang seiring dengan hasrat kerajaan Barisan Nasional, saya sentiasa terdorong berikhtiar supaya memajukan diri untuk menjadi pemangkin kepada kemajuan pendidikan dan kecemerlangan pencapaian anak bangsa.

Tuntasnya, segala usaha dan kesungguhan harus disertakan dengan keikhlasan dan niat yang baik. Begitulah sedikit sebanyak perkongsian idea saya pada penulisan ini. Kemanisan hanya dapat dinikmati di atas kepahitan.

1 comment:

Anonymous said...

There is something about you and three other Pahang BN bloggers mentioned in Malay Mail today. There is also a screenshot of your blog.

The Internet version is at this title and link Four Pahang Horsemen of cyber apocalypse

- Gambut