December 6, 2008

CRSM sedia membantu....



Gambar- Pang bersama Andy Ng, Ketua Bahagian MCA Paya Besar dan skuad CRSM.

3/12/2008 (Sungai Lembing) - Atas kepercayaan dan amanat daripada YB Dato’ Hoh Khai Mun selaku Pengerusi Perhubungan MCA negeri Pahang, sekali lagi saya berasa syukur dilantik sebagai ketua bagi Crisis Relief Squad (CRSM), iaitu Skuad Bantuan Krisis MCA negeri Pahang. Tidak perlu saya menghurai panjang peranan CRSM ini kerana sudah diketahui ramai serta sememangnya CRSM harus dan telah memberikan kesedaran kepada orang ramai terutamanya melalui aktiviti seperti bantuan kecemasan, kebajikan masyarakat dan sebagainya.

Seperti apa yang sentiasa saya tekankan, keprihatinan harus ditingkatkan dari semasa ke semasa supaya bantuan yang berbentuk sukarela boleh disalurkan secara efesien dan berkesan. Sebagai ketua CRSM, saya berjanji skuad CRSM akan melakukan apa yang terdaya untuk membantu.

Oleh sebab itu, dalam masa yang sama saya tidak lupa mulakan tugas secepat mungkin kerana awal bulan Disember ini telah menampakkan hujan turun dengan lebat tanda kedatangan musim tengkujuh. Fenomena sebegini agak genting kerana beberapa kawasan di Pantai Timur telah dilanda banjir.

Tanpa melengahkan masa, hari ini saya meluangkan masa untuk meninjau kawasan Sungai Lembing yang dikatakan kawasan banjir berisiko tinggi. Peranan CRSM tidak semestinya membantu mangsa banjir kerana tugas penyelamat tersebut memerlukan mereka yang dilatih secara profesional. Namun demikian, CRSM boleh membantu dalam mendaftarkan mangsa bencana, memindahkan mangsa bencana dan barangan penting mereka serta tugas penyelarasan yang lain.

Selepas tinjauan kali ini, saya berasa cukup berpuas hati terhadap persediaan CRSM dalam membantu mangsa banjir di Sungai Lembing. Tetapi kualiti sukarelawan CRSM perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa. Sukarelawan CRSM tidak semestinya terdiri daripada ahli MCA tetapi terbuka kepada siapa-siapa yang sudi menghulurkan bantuan. Selain dapat meningkatkan semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat, saya berharap melalui penyertaan dalam CRSM, masyarakat dapat menimba pengalaman membantu mangsa seterusnya berkemampuan membimbing ahli keluarga mereka lebih bersedia menghadapi bencana di samping menyelamatkan diri dan barangan penting yang berharga.

Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru supaya orang ramai harus lebih prihatin dan peka terhadap bencana yang bakal berlaku seperti banjir serta mereka harus menjaga anak-anak dan orang tua dengan berhemah. Orang ramai yang berkemampuan juga diminta agar menghulurkan bantuan barangan keperluan harian untuk sama-sama kita menghadapi bencana seperti banjir. Dalam hari-hari yang akan datang, saya akan meninjau dan memantau persediaan CRSM di daerah-daerah lain yang berisiko tinggi mengalami banjir.

No comments: