

9/12/2008 (Kuantan) – Saya telah menghadiri Majlis Pelancaran Program Amal Jariah yang dilancarkan oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. Melalui program seperti ini, sekali lagi kita dapat melihat keprihatinan kerajaan BN terhadap rakyat miskin tegar.
Dalam Bajet 2008, YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan penubuhan dana Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility - CRS) dengan peruntukan sebanyak RM 50 juta bagi membaik pulih rumah usang golongan miskin tegar di seluruh negara melalui sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang diperbadankan, iaitu Prokhas. Sdn. Bhd. dengan kerjasama daripada Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam.
Dalam pelancaran tersebut, tayangan video “Program Amal Jariah” adalah cukup menyayat hati dan menyedihkan. Walaupun kita tidak sedekat dengan golongan yang kurang bernasib baik ini, tetapi melalui tayangan tersebut, kita secara langsung dapat merasai kepayahan dan kesengsaraan yang dialami oleh mereka lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh ini. Bayangkan rumah usang mereka dengan bumbung atap yang cacat cela, dapur mereka yang kurang sempurna, tembok rumah yang kurang kukuh, hidup mereka harus diteruskan. Sebagai insan yang berakal dan berperikemanusiaan, sejuta kesedihan telah dirakamkan seerta-merta dalam hati.
Kesyukuran harus dirasakan bersama kerana setakat ini Prokhas telah berjaya membaiki pulih hamper 7800 buah rumah di seluruh negara dan 8400 buah rumah akan siap dibaik pulih menjelang 31 Disember 2008. Di sini, saya ingin menyeru kepada para pemimpin tempatan supaya sentiasa peka terhadap kehidupan masyarakat di sekeliling mereka.
Saya memohon jasa baik para pemimpin supaya mengemukakan dan mencadangkan mereka yang memerlukan bantuan sebegini dari semasa ke semasa. Tempat kediaman merupakan keperluan asas kepada manusia. Pembentukan keluarga yang bahagia memerlukan tempat tinggal yang selesa dan selamat. Mana-mana syarikat yang berminat untuk turut serta bagi menjayakan program ini juga dijemput menampilkan diri.
Seringgit sumbangan diderma, seringgit dinikmati penerima ! Hulurkan tangan, ringankan beban !
No comments:
Post a Comment