December 7, 2008

Selamat Menyambut Hari Raya Haji


Salam bahagia dan salam muhibah! Sesungguhnya saya amat gembira kerana dapat bersama-sama masyarakat berbilang kaum menyambut Hari Raya Haji pada tahun 2008 ini. Kepada warga Muslim yang akan menyambut Hari Raya Haji pada 8 Disember 2008, secara tulus dan ikhlas saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Haji.

Di sini, saya ingin menegaskan sekali lagi tentang amalan kunjung-mengunjungi dan saling bermaafan. Krisis ekonomi sedunia dan anjakan politik semasa sememangnya menjadi perhatian utama dunia termasuk Malaysia. Namun, perpaduan antara kaum yang masih diuji harus menjadi lebih kental dan utuh dari semasa ke semasa. Perayaan menjadi tidak bererti jika kita tidak berkumpul bersama dan menjalinkan silaturahim. Maka, pada musim perayaan inilah, luangkan masa kita dan sama-sama menunjukkan keikhlasan kita kepada rakan-rakan dengan mengamalkan kunjung-mengunjungi.

Kita juga sedia maklum bahawa musim tengkujuh sudah mula dan beberapa negeri juga dilanda bencana banjir dan tanah runtuh. Dengan ini, saya mengambil kesempatan bagi menyeru ibu bapa supaya mengawasi anak-anak mereka dengan lebih prihatin dan sentiasa bersedia untuk menghadapi bencana alam seperti banjir. Saya berharap musim perayaan ini akan berlangsung secara aman serta segala persediaan kita untuk menghadapi banjir akan berkesan. Selamat Menyambut Hari Raya Haji !

No comments: