06/01/2009 (Kuantan)-Keadaan banjir di Kuantan pada tahun ini boleh dikatakan lebih baik berbanding dengan tahun-tahun lepas. Akhir tahun 2008 yang disangkakan akan berlakunya banjir teruk, tetapi tidak berlaku apa-apa di kawasan DUN Semambu. Namun pada awal tahun 2009, hujan 3 hari berturut-turut telah menyebabkan beberapa tempat di kawasan DUN Semambu mengalami banjir, iaitu Kampung Padang (Sungai Pinang), Kampung Tiram dan Cenderawasih.
Sebanyak 12 keluarga di Kampung Padang (Sungai Pinang), 32 keluarga di Kampung Tiram dan 8 keluarga di Cenderawasih, iaitu seramai 221 orang mangsa banjir telah selamat ditempatkan di pusat pemindahan yang telah disediakan sejak dari awal lagi. Saya ingin melahirkan kesyukuran kerana banjir yang berlaku kali ini tidak serius jika dibandingkan dengan kawasan lain di dalam negeri Pahang serta tiada kemalangan nyawa dilaporkan dan kerugian harta juga tidak begitu serius.
Selepas mesyuarat di Bentong pada 04/01/2009, saya terus bergegas untuk pergi meninjau keadaan di tempat-tempat tersebut serta bertanyakan khabar kepada mangsa banjir. Saya juga tidak lupa untuk meninjau persediaan makanan, selimut, tikar yang mencukupi untuk mereka. Perkara ini amat penting kerana persediaan awal kita di pusat pemindahan lebih awal pada tahun ini adalah untuk membantu mangsa banjir dengan lebih sistematik dan berkesan.
No comments:
Post a Comment