January 11, 2009

Bantuan Ikhlas Daripada PROJEK CARI



Gambar- Pang menyampaikan Bantuan Kewangan kepada Keluarga Ho yang dihadiri oleh En.Hamizan, En. Razak serta Sdr. Chow.

08/01/2009(Kuantan) – Pada hari yang mulia ini, saya bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan, En. Hamizan dan pegawai-pegawai lain termasuklah Pembantu Pegawai Khas Projek CARI, Sdr. Chow Chin Shien telah menyerahkan bantuan kewangan kepada 3 keluarga, iaitu keluarga Ho, keluarga adik Lim dan keluarga Fu yang berada didalam Kawasan Parlimen Indera Mahkota.

Boleh dikatakan saat penyerahan bantuan kewangan kepada keluarga Ho di Semambu Baru merupakan saat yang paling menyayat hati, air mata berlinangan sepanjang pertemuan itu telah melahirkan perasaan simpati dan keprihatinan saya. Hati saya turut berasa pedih. Keluarga Ho yang didiami oleh 3 orang ahli ini dijaga oleh salah seorang anak berusia 30-an yang merupakan OKU. Ibu tuanya merupakan pesakit diabetis yang tenat manakala abangnya yang berusia 49 tahun juga diserang strok beberapa tahun yang lepas. Dalam keadaan ini, mereka telah putus pendapatan dan hanya bergantung pada simpanan arwah ayah sahaja.

Namun, melalui pelaksanaan Projek CARI, keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan dapat dikesan dengan lebih sistematik. Projek yang mulia ini bermula pada Julai 2008 serta diusulkan sepenuhnya oleh YB Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat). Tindakan melantik Pegawai Pembantu Khas Projek CARI di setiap kawasan parlimen di seluruh negara merupakan langkah prihatin kerajaan terhadap masyarakat yang susah. Sehingga bulan Disember 2008, sebanyak 384 kes dapat dikesan di Kuantan dan 121 kes telah diselesaikan melalui pemberian bantuan kewangan.

Projek CARI telah menawarkan 4 jenis bantuan, iaitu Bantuan Kanak-kanak (RM100–450sebulan), Bantuan Orang Tua (RM300 sebulan), Elaun Pekerja Cacat (RM300 sebulan – dengan syarat bekerja) dan Bantuan Khas Kepada Penjaga Pesakit Kronik Terlantar / OKU Terlantar (RM300 sebulan). Dengan pelaksanaan projek mulia ini, lebih banyak golongan miskin dan memerlukan bantuan dapat dikesan dalam masa yang singkat.

Di samping itu, kerajaan BN yang memfokuskan keprihatinan terhadap warga miskin, warga emas, OKU, pesakit kronik, kanak-kanak yatim juga memberikan bantuan kewangan kepada mereka melalui Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang disalurkan serta diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah dan negeri. Dengan keberkesanan pelaksanaan projek sebegini, hasrat kerajaan BN untuk membantu golongan yang memerlukan ini akan lebih berkesan dan teliti.

Pendek kata, saya berharap masyarakat di sekitar, jiran serta rakan yang mengetahui sekiranya ada mana-mana individu atau keluarga yang susah dan memerlukan bantuan, boleh menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan atau menghubungi saya sendiri di Pusat Khidmat Rakyat (09-5178328)untuk permohonan selanjutnya.

No comments: