April 6, 2009

Dari Pahang, Lahirlah Seorang Perdana Menteri


3 Apr 2009 menjadi lebih bermakna apabila secara rasminya melahirkan Perdana Menteri Malaysia Ke-6 dari negeri Pahang yang amat dibanggakan, iaitu YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Saya berharap seluruh warga Malaysia turut akan bergembira atas pelantikan tersebut dan sama-sama kita menunggu detik kepimpinan baru daripada beliau termasuklah barisan kabinet yang bakal dirombak. Sememangnya tugas menjadi Perdana Menteri bukan mudah memandangkan krisis kewangan Amerika Syarikat yang telah menyebabkan kegawatan ekonomi negara. Pergolakan dan permainan politik yang ditunjukkan oleh pembangkang juga merupakan suatu cabaran yang bakal disahut oleh beliau. Namun segala doa dan rahmat semoga dicurahkan atas kepimpinan baru beliau nanti.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, YAB Dato’ Sri Mohd Najib pernah menyatakan bahawa sesungguhnya untuk kekal lestari UMNO mesti memenangi semula hati dan pemikiran orang Melayu. Jadi, mahu tidak mahu, ahli UMNO mesti berubah untuk kepentingan rakyat. Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Di sini, perubahan sikap dan permuafakatan akan memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan polisi dan memajukan negara kita.

Beliau juga menyatakan banyak pihak hari ini menganggap terdapat keterpisahan antara aspirasi UMNO dan aspirasi massa. Bagi mereka, cita rasa UMNO bukan lagi cita rasa rakyat. Oleh yang demikian, orang-orang UMNO janganlah terperangkap dalam kepompong sendiri dan terlalu asyik dengan proses dalaman parti. Tidak lupa juga beliau turut berterima kasih kepada Pak Lah atas segala sumbangan khususnya dalam menyediakan jaringan keselamatan sosial dari segi memerangi kemiskinan tegar dan memperkasakan industri pertanian negara.

Dalam perutusan sulungnya sebagai Perdana Menteri yang disiarkan menerusi TV1 malam tadi, saya rasa bersyukur kerana YAB Dato’ Sri Mohd Najib mengajak seluruh rakyat untuk bersama melaksanakan transformasi besar berteraskan semangat 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' dan beliau berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat bagi membela nasib rakyat dalam perutusannya semalam. Dalam situasi yang mencabar, YAB Dato’ Sri Mohd Najib juga begitu komited untuk memastikan kepemimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.

Perdana Menteri mahu mengambil manfaat dari kejayaan kini dan iktibar dengan pengajaran masa lalu berhasrat meneruskan agenda besar kerajaan membasmi kemiskinan, menstruktur semula masyarakat, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, serta meniupkan semangat generasi baru untuk berkhidmat kepada negara. Apa yang lebih penting adalah beliau akan bertukar pendapat dengan pelbagai lapisan pemimpin masyarakat dari seluruh negara dalam waktu terdekat ini untuk menentukan keutamaan kerajaan

Pendek kata, dasar keterbukaan dan asas permuafakatan yang bakal diteruskan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib adalah diharap mendapat sokongan yang penuh daripada rakyat sekalian supaya memberikan keyakinan kepada barisan kebinet baru dalam memimpin negara keluar daripada kegawatan ekonomi.

Selamat bertugas, YAB Dato’ Sri Mohd Najib !

No comments: