28.3.2008 (Kuantan) - Ucapan terima kasih kepada pihak persatuan yang sudi menjemput saya menghadiri sekali gus merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-13 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Daerah Kuantan yang gilang-gemilang ini. Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis persatuan pada hari ini.
Dalam ucapan saya, saya mengambil kesempatan mengalu-alukan penyertaan para pesara dalam persatuan ini supaya dapat mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti sampingan yang bakal dianjurkan oleh persatuan. Dalam era pembangunan yang searus dengan modenisasi, kita masih tidak boleh menafikan bakti dan sumbangan yang pernah dicurahkan oleh para pesara. Pencapaian stabil negara kita pada hari ini bukan senang didapati jika tanpa usaha gigih dan murni daripada mereka. Perkara ini yang harus dihargai oleh muda-mudi zaman sekarang memandangkan pengalaman para pesara merupakan ilmu yang tidak ternilai untuk dipelajari.
Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menyatakan memandangkan jangka hayat rakyat Malaysia kini lebih tinggi iaitu 70 tahun bagi lelaki dan 72 tahun pula bagi wanita, jangka hayat aktif mereka tidak terhad kepada 55 tahun sebaliknya mungkin meningkat hingga 60 tahun. ``Ada satu orang yang saya tahu dia berusia 76 tahun, tapi masih bekerja lagi,'' katanya berseloroh (gurau) yang mungkin merujuk kepada dirinya sendiri. Ini bermakna para pesara yang bersara pada usia 56 – 58 tahun masih kuat bekerja dan produktif dalam melaksanakan tugas.
Kerajaan telah mengambil langkah segera yang bijak dengan melaksanakan beberapa strategi melalui Bajet Mini dan adalah diharapkan para pembangkang perlu berhenti daripada permainan politik yang cuba mengaburi mata masyarakat demi kepentingan sendiri, sebaliknya kita harus sama-sama menemui jalan memperbaiki ekonomi negara, mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan keyakinan negara asing terhadap perdagangan dalam negara.
Pendek kata, para pesara bakal menyumbangkan bakti mereka dalam suatu peringkat yang lain selepas bersara. “Kita belajar untuk belajar, kita mengajar sambil belajar”, begitulah suatu kata hikmah daripada saya yang ingin memohon para pesara supaya tidak berhenti melibatkan diri dalam aktiviti masyarakat yang bermanfaat malah perlu lebih giat dan aktif menyertainya sambil membantu anak-anak muda yang masih mentah dan gugup mengharungi dunia pancaroba. Ingat, hari ini, negara membangun dan berjaya kerana adanya sumbangan anda. Dan hari esok, Wawasan 2020 bakal dicapai juga dengan adanya anda bersama.
No comments:
Post a Comment