Pang Tsu Ming (empat dari kanan) menyerahkan surat hak milik strata kepada Wong Chong Heng yang turut dihadiri oleh pemilik Flat Taman Rasa Sayang, Kuantan, Pahang, semalam.
KUANTAN 10 Mei - Kira-kira 200 penghuni Flat Taman Rasa Sayang di sini menarik nafas lega apabila penantian mereka selama 25 tahun untuk mendapat hak milik strata tercapai hari ini.
Menurut penghuni, permohonan untuk mendapatkan status tersebut telah dikemukakan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuantan sejak 1985.
Pengerusi penduduk, Wong Chong Heng, 59, berkata, sebelum ini pihaknya berkali-kali membuat permohonan mendapatkan status tersebut yang dilakukan melalui pemaju tetapi tiada maklum balas oleh PTG.
''Akibat kerenah birokrasi itu, kami tidak dapat menyelesaikan beberapa perkara seperti proses jual rumah dan memindahkan hak milik kepada pihak ketiga," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Chong Heng, selepas usaha tersebut tidak berhasil, pihaknya menubuhkan Perbadanan Pengurusan Flat bagi menguruskan masalah permohonan berkenaan.
Seorang penduduk, Rakiah Yusof, 58, berkata, dia membeli rumah flat tersebut pada tahun 1985 dengan harga RM20,000 dan kini telah diserahkan kepada salah seorang anaknya.
"Saya telah berpindah ke tempat lain dan menyerahkan rumah ini kepada salah seorang anak saya, namun masalah timbul apabila proses pertukaran hak milik tidak dapat dibuat.
"Bagaimanapun saya bersyukur apabila akhirnya ia dapat diselesaikan dan ini merupakan hadiah untuk sekeluarga atas berkat kesabaran selama ini," katanya.
Bagi Ang Gim Huat, 52, pula, dia membeli rumah flat itu 24 tahun yang lalu dan setiap tahun menjelaskan cukai hasil sebanyak RM24.75.
''Di sini banyak masalah yang timbul terutama dari segi kebersihan kawasan dan tiada kawalan keselamatan yang ketat kepada penghuni," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Datuk Pang Tsu Ming berkata, dia menerima aduan daripada penghuni flat itu pada bulan lalu mengenai masalah kelewatan kelulusan permohonan.
Katanya, permohonan mendapatkan hak milik strata itu seharusnya diluluskan sejak dahulu lagi apabila pemaju membuat permohonan dan bayaran lengkap pada 1999.
Bagaimanapun, katanya, oleh kerana kelewatan memproses permohonan daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Daerah, penduduk di sini terpaksa menunggu sehingga 25 tahun.
''Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia membuatkan rakyat kurang yakin dengan kerajaan malah menyalahkan kerajaan kononnya tidak prihatin dan sebagainya," katanya.
Tsu Ming berkata, masalah tersebut adalah yang pertama dapat diselesaikan manakala masih ramai lagi permohonan dari seluruh negeri masih dalam proses kelulusan.
''Saya difahamkan terdapat ramai lagi penduduk flat yang mempunyai masalah sama malah ada daripadanya berpunca daripada pemaju yang tidak bertanggungjawab seperti tidak membuat permohonan dan berhijrah ke tempat lain sehingga menyebabkan pembeli sukar untuk mendapatkan maklumat," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment