September 29, 2008
Selamat Hari Raya
SESUDAH tamatnya bulan Ramadan, Syawal kini menjenguk kita dengan perasaan meriah dan penuh kegembiraan. Semua umat Islam di negara kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Saya melihat bulan ini telah mengajar kita erti kesyukuran selain silaturahim sesama ahli keluarga, persaudaraan, persahabatan dapat dieratkan dan diutuhkan dari semasa ke semasa. Selepas mencapai kemerdekaan selama 51 tahun, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan BN bagi memperkembang ekonomi, memperkasa pendidikan, mempertingkatkan tahap sosial masyarakat majmuk di negara dan kini kita telah dapat melihat keberkesanan dan kejayaan di sebaliknya.
Pelbagai spekulasi dan dugaan telah menguji keutuhan dan perpaduan kaum beberapa bulan ini, namun segalanya dapat diatasi melalui ketrampilan pentadbiran kerajaan BN. Sudah tentu selepas ini kerajaan BN akan lebih bersedia menghadapi dan menangkis pelbagai dugaan yang bakal dihadapi. Dalam pada itu, kunjung-mengunjungi merupakan suatu amalan mulia yang harus diteruskan dalam warisan dan tradisi masyarakat Malaysia pada masa akan dating dan pada Hari Raya Aidilfitri inilah telah memberikan peluang yang terbaik untuk mempraktikkannya. Melalui amalan kunjung-mengunjungi juga, kita juga berpeluang untuk mempelajari budaya kaum lain dan memahami amalan keagamaan lain seterusnya membolehkan kita mengelakkan salah faham dan konflik yang tidak diingini.
Kepada para pemandu di jalan raya, berhati-hatilah dan memandu secara cermat di jalan raya. Biar lambat asalkan selamat. Ingatlah orang yang tersayang. Saya memohon maaf jika selama ini ada terkasar atau terlanjur kata, atau ada salah dan silap tanpa saya sedari yang telah menguris perasaan saudara dan saudari. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada semua rakyat Malaysia. Salam!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment