BELAKANGAN ini, kecaman terhadap ISA memang begitu banyak dan menonjol, termasuk isu yang ditimbulkan oleh menteri undang-undang (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim) yang sanggup meletak jawatan. Hal ini secara langsung telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan persepsi negatif daripada semua pihak. Saya berasa cukup kesal kerana pelbagai dugaan dan kecaman telah dihadapi oleh kerajaan pimpinan Pak Lah dalam usaha menegakkan hak kebebasan bersuara yang kian seiringan dengan fenomena globalisasi.
Kita tidak menyangkal bahawa baru-baru ini kita sudah lebih berpeluang menyaksikan rancangan televisyen dan radio berbentuk forum atau perbincangan pelbagai topik termasuk politik serta mengakui bahawa kebebasan laporan media massa yang lebih terbuka. Langkah sedemikian dilaksanakan tidak lain tidak bukan hendak memberikan ruang dan kebebasan yang lebih kepada masyarakat bagi menyuarakan rasa tidak puas hati dan persepsi masing-masing. Kita juga boleh melihat kesungguhan Pak Lah yang sedang giat melaksanakan Program “Warkah Untuk PM” yang sememangnya memberi penekanan kepada pandangan rakyat. Namun demikian, perkara ini telah menjadi sebaliknya seterusnya mengundang pelbagai kecaman. Keterbukaan dan kebebasan bersuara adalah langkah baik tetapi ada batas dan hadnya. Sebagai masyarakat bertamdun, kita sepatutnya mengetahui dan menghargai kebebasan bersuara itu sebagai suatu peluang dan bukan meluahkan isu sensitif sehingga mengkucar-kacirkan keamanan negara.
Pada pendapat saya, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak sesuai digunakan dalam membanteras dan menjaga keamanan Negara khususnya dalam menangani masalah yang berkaitan dengan perkauman dan keagamaan. Tetapi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah akta yang digunakan untuk membanteras anasir komunis dan pengganas di negara ini pada suatu masa dahulu dan sekarang. Itu sangat penting. Sebaliknya, penyesuaian penggunaan akta lain bagi memelihara hubungan kaum dan sensitiviti keagamaan dalam era globalisasi ini harus dan sangat perlu dikaji semula. Kita harus sedar atas usaha kerajaan dan pelaksanaan dasar pendidikan negara yang cemerlang, setiap tahun negara melahirkan ribuan graduan yang terpelajar dan terdidik. Atas dasar ini juga rakyat Malaysia kini sentiasa akan mengamalkan pandangan jauh dan berfikiran waras dan rasional supaya seiringan dengan pembangunan politik, ekonomi dan sosial negara.
Oleh itu, dalam usaha kerajaan melaksanakan dasar keterbukaan dan kebebasan bersuara, persediaan yang rapi dan sistematik perlu dirancang, suatu akta baru yang bertunjangkan hubungan kaum, prejudis terhadap anutan agama dan antirusuhan perkauman perlu didraf dan digubal serta dilaksanakan di negara kita supaya menjamin kesejahteraan yang telah dipertahankan sejak 51 tahun yang lalu. Jika ISA masih diteruskan, ini bermakna kita kembali kepada zaman lampau dan langsung tidak wujud pembaharuan undang-undang di negara kita yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment