6/12/2008 (Kuantan) – Pada hari ini, saya telah mewakili YB Dato’ Haji Shafik Fauzan bin Haji Sharif, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita Negeri Pahang bagi merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Jualan Jimat Malaysia 2008 Peringkat Negeri Pahang di East Coast Mall.
Dalam ucapan beliau, beliau menekankan bahawa Kempen Jualan Jimat seperti ini bertujuan untuk mempertingkatkan pendapatan negara dan meningkatkan kadar kemasukkan pelancong-pelancong luar dan dalam negara ke negeri kita yang mana Malaysia adalah salah satu destinasi pelancongan yang unggul di dunia. Selain itu, beliau juga mengatakan bahawa kompleks beli-belah yang mengandungi pasar raya mega dan berkonsepkan pelancongan seperti East Coast Mall dapat memberi nilai tambah kepada industri pelancongan di negeri Pahang serta pengunjung-pengunjung dari Pantai Timur dan lain-lain negeri untuk datang berkunjung ke negeri Pahang, kemudian secara tidak langsungnya lokasi-lokasi pelancongan kita dapat dikenali dari dalam dan luar negara.
Namun demikian, dalam ucapan beliau juga menyeru untuk menjaga faedah sepanjang tahun, peniaga perlu memberi layanan yang sekata kepada pengunjung tidak kira bangsa atau agama, menjaga kebersihan kawasan sekitar dan bersikap mesra melancong. Peniaga-peniaga juga digalakkan agar dapat mengemukakan idea-idea menarik kepada pelancong-pelancong bagi menggalakkan mereka untuk membeli belah di Kuantan.
Di sini, saya ingin menyelitkan beberapa tambahan pandangan saya sendiri terhadap Kempen Jualan Jimat. Sektor pelancongan merupakan sumbangan utama ekonomi negara. Negara-negara seperti Thailand, Maldives, China banyak bergantung kepada sektor pelancongan untuk membangunkan negara. Sehingga kini, negara kita begitu berusaha memberikan galakan dan sokongan dalam membangunkan sektor pelancongan dan salah satu langkah adalah melalui pembentukan Syurga Membeli-belah di Malaysia.
Melalui pembinaan kompleks beli-belah yang mega, kemasukan kepelbagaian perniagaan dan barangan berjenama yang mudah didapati merupakan langkah bijak menggalakkan para pelancong dan masyarakat tempatan berbelanja di negara kita. Langkah sebegini dapat mengelakkan dan mengurangkan pengaliran wang ke luar negara.
Namun begitu, bagi menggalakkan dan membangunkan sektor pelancongan, selain peranan yang dimainkan oleh kerajaan, agensi pelancongan, media massa dan masyarakat setempat juga harus memainkan peranan masing-masing supaya dapat memberikan keyakinan kepada sektor ini. Di samping itu, keselamatan awam harus dititikberatkan diikuti dengan para peniaga dan masyarakat setempat yang harus bersifat mesra pelancong. Orang ramai harus sedar bahawa betapa pentingnya sektor pelancongan memberi impak kepada ekonomi dan reputasi negara di mata dunia.
No comments:
Post a Comment