April 25, 2009

Teks Perbahasan Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang



22/04/2009 (Kuantan)
Keberkesanan Sistem Penyampaian Awam

Atas konsep “Satu Malaysia”, adalah diharapkan para pelaksana dasar kerajaan dan rakyat perlu memberikan sokongan dan dokongan yang sepenuhnya terhadap hasrat YAB Perdana Menteri. Jabatan kerajaan adalah diseru supaya meningkatkan tahap sensitiviti, lebih peka dan prihatin dalam pelaksanaan dasar dan polisi kerajaan memandangkan YAB Perdana Menteri yang begitu komited bagi meningkatkan kualiti sistem pelaksanaan jabatan dan kementerian kerajaan. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri juga menunjukkan keseriusan beliau untuk memastikan pasukan kabinetnya adalah benar-benar “bekerja untuk rakyat”.

Dalam pada itu, public delivery system atau sistem penyampaian awam dan keberkesanan jabatan kerajaan perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa. Jelas di sini bahawa perubahan tingkah laku dan budaya kerja kakitangan awam adalah sangat diperlukan terutamanya jabatan kerajaan yang berurusan langsung dengan masyarakat umum. Ini berikutan masalah dan keperluan rakyat harus diselesaikan dengan cara yang berkesan dan bukan ditangguhkan dengan pelbagai alasan yang kurang munasabah. Penilaian rakyat terhadap segala tindakan barisan kerajaan semakin telus dan tajam, hanya pencapaian dan keberkesanan sahaja dapat menyakinkan rakyat terhadap BN dan rakyat tidak mahu lagi mendengar penjelasan dan alasan.

“Fight For Economy”

Kita tidak menafikan kerajaan perlu meletakkan keprihatinan dalam perkara ini bagi menentang krisis ekonomi ini habis-habisan. Saya berasa cukup menyesal apabila terdapat sesetengah pihak yang mengambil kesempatan untuk menimbulkan huru-hara sambil mengganggu kestabilan pentadbiran di negara kita. Kestabilan ekonomi secara langsung mempengaruhi kestabilan politk dan pentadbiran negara dan pada masa inilah, rakyat jelata perlu menumpukan perhatian sepenuhnya memperjuangkan bagi meningkatkan ekonomi negara tetapi bukan berjuang demi kepentingan diri sendiri. Keadaan sebegini telah mendorong kita supaya bersatu padu “Fight For Economy” dan bukan duduk bermain helah politik sambil mengapi-apikan emosi rakyat negara seperti bersidang di bawah pokok serta sengaja mencuri kesempatan dalam memperbanyakkan pilihan raya kecil. Jika helah politik ini berterusan, maka secara langsung akan memberikan impak negatif kepada usaha murni kerajaan dalam memperjuangkan ekonomi negara dan akhirnya rakyat yang akan menjadi mangsa.

Buat masa sekarang, tugas kita adalah sama-sama berjuang tanpa hasad dengki kerana ekonomi negara dan rakyat sudah pasti akan terus berkembang sekali gus merancakkan kembali senario ekonomi negara dalam tempoh terdekat. Ketika ini, perjuangan untuk memulihkan ekonomi negara yang dilaksanakan oleh kerajaan harus disokong oleh rakyat sepenuhnya. Kempen-kempen seperti “Belilah Barangan Buatan Tempatan” dan “Melancong dalam Negara” harus digalakkan untuk merangsang semula ekonomi negara. Dengan ini, secara langsung akan mengurangkan pengaliran keluar mata wang dan membawa masuk pengaliran mata wang asing jika destinasi pelancongan negara kita dapat dipromosikan secara meluas ke luar negara. Pada masa yang sama, kerajaan adalah digalakkan supaya memperbanyakkan sesi dialog bersama pelabur asing bagi mendalami dan memahami serta seboleh-bolehnya membantu mereka mengharungi krisis ekonomi pada kali ini.

Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan

Bantuan kerajaan kepada sekolah aliran Cina dan Tamil dikategorikan kepada dua jenis, iaitu bantuan penuh dan separuh penuh. Memandangkan keperluan yang seiring dengan zaman ini, sekolah-sekolah bantuan separuh penuh harus diberikan bantuan penuh kerana perkara ini senang menimbulkan tanda tanya dan salah faham dalam kalangan masyarakat. Kekangan kewangan daripada sekolah bantuan separuh penuh dalam mendirikan kemudahan asas sekolah menyebabkan mereka terpaksa mencari sumber kewangan luar dengan mengutip derma daripada orang ramai untuk menampung kos pembinaan atau pembangunan. Perkara ini telah meninggalkan kesan dan tanggapan negatif masyarakat terhadap kerajaan dalam membantu pembangunan sekolah aliran Cina dan Tamil.

Dengan cara memberikan bantuan kewangan penuh kepada semua aliran sekolah, saya percaya masalah salah faham dan persepsi negatif dapat diselesaikan seterusnya memulihkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran BN yang sentiasa peka terhadap soal pendidikan negara. Dengan cara ini juga pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan matlamat pendidikan juga akan direalisasikan dari semasa ke semasa.

Along Bermaharajalela

Aduan sentiasa diterima berkaitan dengan penampalan sticker along dan penyebaran kad perniagaan dalam kawasan Kuantan di rumah-rumah kedai, papan-papan tanda dan jalan, papan iklan dan sebagainya sehingga menjejaskan keindahan dan kebersihan daerah Kuantan ini. Perkara ini turut menjejaskan fungsi papan-papan tanda dan jalan serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Penampalan sticker along ini adalah dengan menggunakan gam yang kuat melekat sehingga para pengadu gagal mencabut atau membersihkan pintu, tangga, papan-papan tanda dan jalan. Perkara bermaharajarela ini jelas menimbulkan kesulitan kepada orang ramai dan saya menyeru di sini supaya pihak berkuasa hendaklah segera mencari jalan penyelesaian untuk melenyapkan golongan pemusnah dan vandalisme ini. Golongan ini sudah terlalu melampau dan langsung tidak mempedulikan pihak berkuasa tempatan, mengapa sampai sekarang tidak ada lagi jalan penyelesaian?

Projek Naiktaraf Jalan Raya

Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama dan Kedua telah memperuntukkan bajet dalam projek penaiktarafan termasuklah di negeri kita. Seperti perkara yang saya sebut tadi, kemudahan asas rakyat harus dijaga, dibela dan ditingkatkan dari semasa ke semasa supaya rakyat dapat merasai keprihatinan kerajaan. Di sini, saya meminta supaya kerajaan negeri boleh memohon peruntukan untuk menaiktaraf perlebaran Jalan Sungai Lembing dari Sungai Pinang hingga ke tol keluar Bukit Goh kerana projek naiktaraf sebelum ini hanya diluluskan untuk separuh sahaja, begitu juga dengan Jalan Semambu yang semakin menampakkan kenderaan yang berpusu-pusu tanpa henti.

Projek Penswastaan Perlu Dikaji Semula

Masalah jalan raya dan longkang yang rosak teruk kerap melanda kawasan perindustrian Semambu. Perkara ini bukan berlaku pada hari ini atau semalam. Saya difahamkan bahawa jalan raya adalah di bawah penyelenggaraan Syarikat Road Care. Sudah banyak tahun saya membangkitkan perkara ini dan meminta pelbagai pihak dalam menangani masalah rakyat ini tetapi nampaknya masih belum berhasil lagi. Jalan raya yang kurang sempurna telah menjadi masalah besar dan faktor utama mendorong kepada kemalangan jalan raya.

Di sini, saya memohon supaya kontrak penswastaan Syarikat Road Care yang tidak memperlihatkan keberkesanan dan fungsinya harus dikaji semula. Kerajaan tidak mahu projek penswastaan yang hanya ada kuantitinya tetapi tiada kualitinya. Saya percaya dengan mengkaji semula secara mendalam projek penswastaan sebegini, barulah mampu memberikan revolusi positif kepada pentadbiran dan penyelenggaraan jalan raya, iaitu kemudahan asas rakyat. Janganlah kita leka dan akhirnya kerajaan juga dipersalahkan.

No comments: