Showing posts with label Reports By Sinar Harian. Show all posts
Showing posts with label Reports By Sinar Harian. Show all posts

November 15, 2008

Pantang larang jejas minda anak

Tsu Ming menyempurnakan penyampaian sijil kepada 1,082 kanak-kanak Tabika Perpaduan Daerah Kuantan sempena majlis tersebut di Wisma Belia dan Sukan, semalam.

Oleh : MOHD RIDZUAN ABU HASSAN

KUANTAN - Ibu bapa di minta untuk tidak terlalu menyekat anak-anak yang masih kecil dengan pelbagai pantang larang kerana dikhuatiri merencatkan proses pembesaran semula jadi mereka.

Ahli Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Pang Tsu Ming berkata, anak-anak tidak perlu dihalang melakukan perkara
yang mereka gemari memandangkan ia adalah sebahagian daripada proses untuk mereka belajar mengenai kehidupan.

Menurutnya, pendidikan di taska atau pusat jagaan baik dalam semua aspek tetapi apabila pulang ke rumah, ibu bapa menghalang perkembangan minda mereka dengan
pelbagai pantang larang.

“Ini bercanggah dengan sifat kanak-kanak yang ingin tahu dan mencuba maka jangan jerkah atau tengking apabila mereka bertanya atau melakukan kesalahan.

“Ikutlah cara yang disarankan agama iaitu dengan menggunakan cara berhemah dan penuh kasih sayang apabila menegur anak-anak,”katanya ketika menyempurnakan perasmian Majlis Graduan Kanak-Kanak Tabika Perpaduan Peringkat Daerah Kuantan, semalam.

Beliau berkata, walaupun anak- anak mempelajari banyak program pendidikan di pusat asuhan tetapi cara mereka berfikir banyak dipengaruhi oleh suasana dan persekitaran bersama keluarga.

Menuruntya, kanak-kanak di luar bandar juga perlu diberi peluang mendapat pendidikan awal yang berkualiti bagi melahirkan generasi bijak dalam bidang akademik dan mempunyai sahsiah yang tinggi.

“Peluang pendidikan di bandar perlu dibawa ke kawasan luar bandar bagi memastikan kanak-kanak di kawasan desa tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

“Saya percaya jika anak-anak di desa diberikan pendidikan yang baik, mereka akan menjadi anak muda yang baik dan menjadi sebahagian daripada tenaga bangsa dan modal insan negara,”katanya.

Tsu Ming berkata, sikap, perbuatan dan tutur kata ibu bapa turut memainkan peranan dan akan menjadi ikutan anak-anak.

Menurutnya, ibu bapa harus membimbing si kecil untuk mengenal mana yang perlu mereka dekati dan mana pula yang perlu dijauhi.

November 10, 2008

Penghayatan rukun negara mampu lahir remaja terbaik


KUANTAN – Program penghayatan rukun Negara perlu dianjurkan secara lebih kerap bagi memastikan hasrat kerajaan melahirkan remaja yang memiliki semangat kenegaraan dan jati diri kelas pertama dapat direalisasikan.

Penolong Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN), Fairojibanu Zainal Abidin berkata, amalan 4P iaitu pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan penting dalam merealisasikan usaha ini.

Menurutnya, usaha ini perlu dilaksanakan secara berterusan terutama di peringkat akar umbi memandangkan golongan muda lebih mudah dibentuk dan diterapkan dengan elemen-elemen yang terkandung dalam rukun negara.

“Aktiviti yang bermanfaat dan memberi kesan terhadap pembentukan jati diri remaja perlu dijadikan sebagai teras utama dalam usaha melahirkan pelapis negara yang berketerampilan dan mampu mengharumkan nama negara.

“Usaha ini memerlukan komitmen daripada semua pihak sama ada kerajaan mahupun swasta di samping memupuk semangat kerjasama di kalangan masyarakat berbilang bangsa untuk memastikan hasrat ini dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Penghayatan Rukun Negara anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kuantan di Amansari Beach Resort, Pantai Sepat, dekat sini, kelmarin.

Fairojibanu berkata, lima prinsip rukun negara dan lagu kebangsaan perlu dijadikan sebagai amalan harian sama ada di sekolah, dalam upacara perasmian atau di mana-mana sahaja bagi mendidik masyarakat supaya menghayati dan menghormatinya.

“Negara kita terdiri daripada pelbagai kaum yang mana keadaan ini memerlukan kita semua berusaha mencari persefahaman dan kerjasama untuk memastikan perpaduan dan keharmonian sedia ada terus kekal utuh.

“Oleh yang demikian, usaha seperti ini perlu diteruskan dan di perkasa supaya hasrat murni kerajaan yang juga sebahagian daripada aspirasi negara ini dapat direalisasikan secara menyeluruh,” katanya.

Kerajaan bentuk asas terbaik ke arah wawasan 2020



SYUKURI ZAKARIA

KUANTAN - Kerajaan sudah meletakkan asas terbaik dalam membentuk sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera yang berpaksikan kepada Dasar Integrasi Nasional sebagai panduan ke arah mencapai matlamat wawasan 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Datuk Phang Tsu Ming berkata, pelbagai program pembaharuan dilaksanakan kerajaan bagi memastikan hasrat negara ke arah integrasi nasional dan perpaduan dapat direalisasikan.

Menurutnya, tema sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini iaitu ‘Perpaduan Teras Kejayaan’ menunjukkan betapa pentingnya sebuah negara memiliki rakyat yang bersatu hati, bekerjasama, bantu-membantu dan memiliki sikap toleransi.

Katanya, walaupun negara dirundung pelbagai krisis yang tidak diingini namun perpaduan dan kemesraan antara kaum yang ada tidak langsung tergugat memandangkan asas perpaduan kaum yang kukuh telah diterap pemimpin-pemimpin terdahulu.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menyatakan bahawa masyarakat majmuk yang terdiri daripada kepelbagaian agama dan kaum adalah anugerah dan rahmat yang tidak wujud di kebanyakan negara-negara lain.

“Untuk memastikan apa yang dimiliki negara terus kekal pada masa hadapan, kerajaan terus menganjurkan pelbagai program dan aktiviti bagi mengeratkan dan memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Penghayatan Rukun Negara anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kuantan di Amansari Beach Resort, Pantai Sepat, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Penolong Pengarah JPNIN Pahang, Fairojibanu Zainal Abidin, Pegawai Perpaduan Daerah Kuantan, Sukri Omar, guru-guru pengiring dan 80 pelajar daripada enam buah sekolah sekitar daerah ini.

Menurut Phang, dalam merealisasikan dasar negara yang bertunjangkan perpaduan kaum, Seminar Penghayatan Rukun Negara seperti ini harus dilaksanakan dengan lebih kerap melalui penglibatan pelajar berbilang kaum di seluruh daerah.

Katanya, seminar ini amat bertepatan dengan peribahasa ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ memandangkan pengisiannya adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan melahirkan pelajar yang memiliki semangat patriotisme yang sejati.

“Memang kita menghafal rukun negara sejak dari kecil lagi namun begitu, adakah masyarakat memahami maksud sebenar yang tersirat di dalamnya dan betul-betul menghayati peranan masing-masing dalam menjayakan dasar negara.

“Oleh yang demikian, seminar seperti ini harus disemarakkan dengan memberikan keutamaan kepada cendekiawan dan pemimpin-pemimpin masyarakat dengan hasrat mewujudkan satu negara dan bangsa yang kuat dan bermaruah,” katanya.

Sementara itu katanya, dalam anjakan paradigma yang menembusi arus globalisasi, negara kita tidak terkecuali daripada cabaran-cabaran tertentu seperti ekonomi, politik,
perpaduan dan seumpamanya.

Malah katanya, jika dilihat daripada perspektif perpaduan, penghayatan rukun negara akan memberikan sumbangan yang bermakna dalam usaha mencipta kegemilangan masyarakat berbilang bangsa di Negara ini.

”Saya berharap para pelajar yang terlibat dalam seminar ini akan dapat mengaplikasikan apa yang diperoleh dalam kehidupan harian selain mendorong remaja dan rakan-rakan lain mengamalkan penghayatan Rukun Negara,” katanya.

September 5, 2008

Bajet Prihatin Untuk Rakyat

Oleh : MOHD ZAKY ZAINUDDIN

KUANTAN - Pembentangan Bajet 2009 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini disifatkan bajet prihatin untuk golongan tertentu khususnya orang miskin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Pang Tsu Ming, berkata, bajet yang dibentangkan itu amat mementingkan keselesaan dan kesejahteraan rakyat ketika negara berdepan dengan kenaikan taraf hidup secara mendadak.

Katanya, bajet ini juga jelas menunjukkan kerajaan tidak mahu golongan miskin, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas dipinggirkan daripada mendapat bantuan.

"Kerajaan telah melonggarkan kelayakan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan menurunkan syarat pendapatan seisi keluarga daripada RM400 kepada RM700 sebulan. Ini jelas menunjukkan bajet kali ini lebih mesra rakyat dan mementingkan nasib mereka yang kurang bernasib baik.

"Golongan ini juga seharusnya menikmati hasil pembangunan negara memandangkan mereka terpaksa berdepan dengan kesan kenaikan harga bahan api dan barang keperluan secara mendadak sekarang.

"Kerajaan telah menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat dalam bajet kali ini dan kita sepatutnya bersyukur dengan kelebihan ini di samping terus memberi sokongan kepada kerajaan yang ada," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurut Tsu Ming, bajet 2009 juga menunjukkan salah satu usaha kerajaan ke arah membasmi kemiskinan tegar apabila bantuan kemiskinan terus dipertingkatkan.

"Kerajaan telah mengambil inisiatif terbaik khususnya usaha untuk membasmi kemiskinan tegar di negara ini di mana mereka yang berpendapatan kurang RM700 layak mendapat bantuan JKM," katanya.

Bela Kemakmuran Negara


Oleh : MOHD ZAKY ZAINUDDIN

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Pang Tsu Ming, menyeru kepada masyarakat untuk membela kemakmuran negara supaya kekal aman dan harmoni.

Kepentingan dalam menjaga kemakmuran bukan sahaja terletak dibahu pihak berkuasa sahaja, malah sebagai penduduk, mereka mempunyai peranan sebagai pembantu yang tidak kurang pentingnya.

Menurut Tsu Ming, bagi mengekalkan kemakmuran negara, kerjasama merupakan elemen terpenting seterusnya menjana persefahaman yang mana memberi manfaat kepada semua pihak.

Katanya, persefahaman dari sudut budaya, cara hidup dan agama antara semua kaum juga dapat mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini sehingga boleh meruntuhkan tamadun negara bangsa.

"Kita harus bersyukur dengan kemerdekaan yang dicapai hari ini. Walaupun perjuangan yang di bawa hari ini mempunyai perbezaan besar dengan tahun-tahun sebelumnya, namun kita perlu sentiasa peka.

"Kemakmuran yang dikecap hari ini adalah usaha daripada pejuang kemerdekaan terdahulu selain kepimpinan negara yang lebih efisien.

"Oleh itu, kita seharusnya menyemai satu tanggungjawab untuk menjaga keamanan sejagat daripada dikucar-kacirkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan Majlis Ceramah Agama dan Penyampaian Hadiah sempena Semarak Ramadhan dan Kemerdekaan Komuniti Bestari Kampung Tiram, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Penerangan Pahang, Datuk Hasnah Hassan dan Pegawai Penerangan Daerah, Mardiana Mohamad selain 500 penduduk membanjiri Surau Kampung Tiram.

Tsu Ming memberitahu, rakyat negara ini seharusnya bangga dengan pencapaian dari sudut pembangunan fizikal yang semakin baik di samping perlu berusaha memantapkan modal insan.

"Kita sudah mencapai kemerdekaan ke-51 selain pembangunan yang semakin pesat di negara ini. Namun, pemantapan modal insan harus dipertingkatkan bagi melahirkan masyarakat lebih bertamadun dan dipandang tinggi oleh masyarakat luar," katanya.

August 28, 2008

ADUN minta masyarakat selami makna merdeka




Oleh: MOHD ZAKY ZAINUDDIN(22/08/08)

KUANTAN – Masyarakat diminta supaya menyelami makna sebenar kemerdekaan di samping menanamkan semangat cintakan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Pang Tsu ming, berkata, masyarakat perlu mempunyai rasa bangga dengan apa yang di capai kini.

Menurutnya, masyarakat perlu berusaha untuk mengekalkan keamanan, keharmonian, dan kegemilangan tanpa dipengaruhi anasir yang mampu meruntuhkan kedaulatan negara.

“Kemerdekaan yang di kecapi kita hari ini adalah usaha kerajaan dan rakyat seharusnya berterima kasih, di samping terus memberi sokongan kepada barisan pemerintah yang ada.

“Segala pembangunan secara menyeluruh dan sedang dijalankan selepas kemerdekaan negara telah dinikmati rakyat tanpa mengira latar belakang.

“jadi, sokongan dalam menjayakan program kemerdekaan jelas menunjukkan bahawa rakyat sentiasa bersyukur dengan hikmat yang diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan aluan pada Program Semarak Merdeka Jalur Gemilang anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kuantan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Cenderawasih Timur di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuantan, Abdul Rahman Abdullah, Pegawai Penerangan Daerah Kuantan, Mardiana Mohamad, Pengerusi KRT, Fuad Mohd Karim Ali dan Pegawai Penerangan Muar, Mohamed Noorden Mukri selaku penceramah dalam program berkenaan.

Selain itu, Tsu Ming turut meminta masyarakat memberi kerjasama kepada kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan tegar 2010 di negara ini seterusnya mengurangkan kadar golongan miskin di kawasan pedalaman.

Katanya, kerajaan negeri mengambil tindakan dengan mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah mengumpul maklumat keluarga miskin sebelum kerajaan memberi bantuan setimpal kepada mereka.

“Kita berharap pada tahun 2010, kadar kemiskinan tegar dapat dibasmi dengan jayanya menerusi pembabitan kerajaan, di samping jabatan tertentu dan mendapat kerjasama penduduk setempat,” katanya.

August 25, 2008

MPK baiki longkang tersumbat

Pang Tsu Ming meninjau penghadang tebing tanah yang semakin terhakis ekoran longkang di laluan atas tersumbat, semalam.

Oleh : MOHD RIDZUAN ABU HASSAN(21/08/08)

KUANTAN – Longkang tersumpat di laluan Taman Desa Samudera akan diperbaiki Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bagi mengelakkan terus berlaku hakisan pada penghadang tanah dan menyebabkan wujud sebuah lubang besar.

Ahli Undangan Semambu, Pang Tsu Ming berkata, kejadian berulang kali kedua ini menyebabkan penduduk merungut ekoran tanah terhakis terkumpul di permukaan laluan bawah jalan berkenaan.

“Hakisan berlaku dilaluan atas kerana longkang di situ tersumbat dan air yang mengalir melimpah keluar untuk terus menuruni laluan bawah,”katanya ketika ditemui mengadakan lawatan kerja ke kawasan berkenaan, kelmarin.

Menurutnya, keadaan cuaca yang kian tidak menentu kebelakangan ini akan merumitkan permasalah tersebut dan meminta agar MPK mengambil tindakan segera.

Tsu Ming berkata, lubang besar yang terbentuk itu adalah hasil dari hakisan tanah pada penghadang jalan dan membahayakan pengguna jalan berkenaan.

Jurutera MPK, Sabaznur Ismail berkata, pihaknya akan mengambil tindakan berhubung masalah ini dan memerlukan masa selama sebulan untui tujuan itu.

“Perkara ini akan dipandang serius ekoran hakisan yang semakin melarat sehingga penghadang simen di tebing jalan kelihatan kosong tanpa tanah,”katanya.

Menurutnya, longgokan tanah yang terkumpul di bawah tebing menyebabkan berlakunya gangguan pada pengguna yang menggunakan laluan tersebut.

“Tanah merah ini hanya akan mengotorkan kenderaan yang lalu dan memberi kesan kepada tempat pembuangan sampah berdekatan,”katanya.

Sabaznur berkata, kesedaran penduduk perlu bagi mengurangkan permasalahn pembuangan sampah yang dilihat semakin merumitkan.


(彭亨‧關丹)英迪拉馬哥打鎮蒂沙沙慕迪拉花園發生沙崩問題從2004年開始困擾當地居民,事件迄今仍未獲得解決。

士滿慕區州議員彭子明週四(21日)前往當地進行視察時,發現不止沙崩問題,連公寓旁的公共垃圾桶也骯髒不堪,垃圾散落地上沒有被處理。此外,旁邊一棵老樹也導致溝渠崩裂。

石牆上堆滿泥沙

在該處公寓E座居住達15年的居民劉高泉(43歲)投訴說,該地一面石牆上堆滿了泥沙,下雨時就造成泥沙飛瀉而下的情況。

“這種情況已經發生第2次了,沖下來的沙布滿地上和溝渠,水也流不通。”

據瞭解,泥沙堆落路旁和溝渠的情況已有1個多月,排水不良加上垃圾亂拋的問題,引起了衛生問題。

“首先,這裡的泥沙需要被清除,免得再次造成沙崩;然後這裡的兩個大型公共垃圾桶也需要被管理,最後旁邊的大樹也應該砍掉,裂開的溝渠需要修理。”

July 24, 2008

Tabung Pembelian Tapak Tanah Kuil Dilancar

Oleh : MOHD RIDZUAN ABU HASSAN(18/07/08)

KUANTAN - Kuil Sri Maha Mariamman melancarkan kempen rayuan derma untuk mengisi “Tabung Pembelian Tapak Tanah Kuil Sri Mariamman” bagi mengekalkan hak milik tanah ekoran saluran undang-undang tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah yang sedang dihadapi.

ADUN Semambu, Pang Tsu Ming berkata, ahli jawatankuasa kuil terpaksa berulang alik ke mahkamah untuk memperjuangkan hak pendudukan mereka di mana kuil berkenaan menjadi salah titik tumpuan pengikut-pengikut agama Hindu sejak zaman penjajahan Jepun.

“Saya percaya berkat usaha bersungguh-sungguh di kalangan pengikut dan penyokong kuil, kempen rayuan derma ini akan dapat mencapai sasaran yang ditetapkan,”katanya ketika menyempurnakan perasmian Bengkel Pembangunan Keluarga Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Pahang, semalam.

Menurutnya, pada suatu masa dahulu kawasan tapak industri Semambu menyaksikan kedatangan ramai penduduk keturunan India bermastautin di situ dan bersepakat mendirikan kuil tersebut.

Walau pun ramai di antara pengikut agama Hindu sudah berpindah keluar dari Kawasan Semambu, tetapi Kuil ini masih bertapak dan digunakan sehingga hari ini atas sokongan dan kesetiaan para penganut.

Tsu Ming berkata, kaedah yang diambil pengurusan kuil merupakan langkah yang amat bijak walau pun ianya agak membebankan kerana memerlukan peruntukkan kewangan yang tinggi.

“Namun dengan berkat sokongan dan kesungguhan para penyokong Kuil, saya yakin kempen ini akan mendapat kejayaan di luar dugaan terutama keprihatinan dari penganut ini sendiri,”katanya.

Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan sifat pemurah seharusnya mengambil peluang ini untuk menabur bukti untuk kesejahteraan bersama pada hari ini.

Beliau berharap dengan pelancaran kempen ini dapat meningkatkan kesedaran umum kepada keperluan masing-masing dalam usaha memartabatkan hak.

July 23, 2008

Ibu Bapa Mampu Bentuk Anak

'Pang Tsu Ming (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Presiden MIYC Kebangsaan, Viveka A.Rajaretnam'
Antara peserta yang hadir bagi membincangkan isu berkaitan keluarga terhadap wanita dan remaja di kalangan masyarakat India anjuran MIYC, semalam.


Oleh : MOHD RIDZUAN ABU HASSAN(20/07/08)

KUANTAN – Seramai 100 peserta mengambil bahagian dalam menjayakan Bengkel Pembangunan Keluarga Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Pahang bagi meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat India mengenai isu keluarga terhadap wanita dan remaja, semalam.

Bertemakan “Keluarga-Ku, Syurga-Ku”, bengkel berkenaan turut dihadiri oleh Presiden MIYC Kebangsaan, Viveka A.Rajaretnam dengan pengisian dua sesi bengkel kaunseling dan perbincangan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertempat di Hotel MS Garden.

ADUN Semambu, Pang Tsu Ming berkata peningkatan kepada permasalahan remaja pada hari ini boleh dikurangkan dengan ketegasan daripada ibu bapa remaja berkenaan dalam membentuk keperibadian mulia untuk tidak bergaul dengan rakan yang turut bermasalah.

“Remaja memerlukan kasih sayang, prihatin dan penjagaan yang rapi daripada ahli keluarga lain terutama ketika menghadapi gangguan emosi bagi mendapatkan perlindungan,”katanya ketika ditemui menyempurnakan majlis perasmian Bengkel Pembangunan Keluarga Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Pahang, semalam.

Menurutnya, anak yang menjadi mangsa keretakan dan keruntuhan institusi keluarga berkenaan akan bertindak memberontak ekoran jiwa yang tidak tenteram dan dibebani masalah keluarga.

Tsu Ming berkata, keluarga bahagia menjadi daya penggerak yang utama untuk memantapkan keharmonian hidup bermasyarakat dan bertamadun.

Kajian ahli sains sosial menunjukkan 80 peratus daripada remaja yang bermasalah adalah berasal daripada keluarga yang bermasalah di mana tingkah laku ibu bapa turut menjadi peranan kepada permasalahan tersebut.

Tsu Ming menegaskan bahawa keluarga adalah institusi yang bertanggungjawab dalam pembentukan sahsiah remaja tanpa mengira latar belakang sosial, keturunan dan kepercayaan agama.

“Saya percaya dengan berlangsungnya aktiviti ini, para peserta akan dapat mengecap pelbagai faedah langsung dan tidak langsung kerana sama-sama mengamalkan budaya hidup keluarga bahagia,”katanya.

Tsu Ming berharap keluarga sentiasa memberikan prihatin yang sepenuhnya di samping mengekalkan kejayaan anak bagi membantu pembentukan sebuah masyarakat yang gemilang.

July 16, 2008

Saran Dekati Permainan Tradisional

Ahli Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Pang Tsu Ming bersama ahli jawatankuasa penganjur bergambar kenangan dengan Wau Daun Sireh sempena pertandingan tersebut, semalam.

Oleh : MOHD RIDZUAN ABU HASSAN(13/07/08)

KUANTAN – Permainan tradisi Malaysia seperti wau bukan sahaja untuk kaum Melayu sahaja namun kaum lain turut digesa bersama-sama mengekalkan tradisi ini agar tidak dilupakan hingga ditelan zaman.

Ahli Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Pang Tsu Ming berkata generasi muda pada hari ini lebih gemar membuang masa dengan permainan komputer yang tidak memberi manfaat dengan pergaulan yang terbatas.

“Permainan wau bukan sahaja menguji kemahiran menaikkan wau ke udara malah meningkatkan daya kreativiti seni seseorang itu dan pasti akan bergaul dengan lebih ramai kenalan dengan minat yang sama,”katanya ketika ditemui menyaksikan pertandingan wau terbuka Kuantan, semalam.

Menurutnya, pertandingan sebegitu berjaya menarik minat ramai generasi muda dalam menyemai perasaan mencintai dan menghargai khazanah warisan negara untuk terus dikenali ke generasi seterusnya.

Seramai 500 pengunjung telah hadir bagi menyaksikan pertandingan tersebut bertempat di padang awam Taman Impian yang dianjurkan oleh Persatuan Peminat Wau Kuantan dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Tsu Ming menggesa agar lebih banyak promosi dilakukan oleh persatuan berkaitan dalam memperkenalkan seni pembuatan wau terutamanya dalam menarik pelancong asing.

“Keselesaan untuk mendapatkan wau itu juga penting kerana ada segelintir remaja yang berminat namun kesukaran untuk memiliki wau itu menyebabkan minat tersebut dipendam begitu sahaja,”katanya.

Menurutnya, semua pihak perlu lebih aktif mengetengahkan semua permainan tradisi agar lebih ramai penyertaan terutamanya dari kaum lain demi perpaduan negara.

Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) turut menggunakan bentuk wau sebagi logo rasmi dan ini merupakan satu pengiktirafan buat peminat seni ini dan membuktikan wau bukanlah satu permainan yang sia-sia.

Tsu Ming berharap wau sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat dan peluang yang ada tidak dibiarkan begitu sahaja dalam memastikan Malaysia terkenal dengan tradisi unik seantero dunia.